KUALA LUMPUR 12 Jan – JAKS Resources Bhd bersetuju melupuskan 100% kepentingan dalam JAKS Solar Nibong Tebal (JSNT) kepada Sunview Asset Management Sdn Bhd pada harga RM15 juta secara tunai.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, JAKS Resources berkata JSNT terlibat dalam pembinaan dan pengoperasian loji jana kuasa manakala Sunview, sebagai pembeli turut mengendalikan perniagaan penjanaan tenaga serta perundingan pengurusan tenaga.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024, JSNT mencatat keuntungan bersih RM817,000 dengan hasil RM18.8 juta.
JAKS Resources menjelaskan pelupusan tersebut tidak akan menyebabkan syarikat menjadi syarikat tunai atau penerbit tersenarai terjejas di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.
Selepas transaksi itu, bahagian kuasa dan tenaga JAKS Resources akan tertumpu kepada usaha sama dengan China Power Engineering Consulting Group Co Ltd bagi pembinaan loji janakuasa arang batu Hai Duong Thermal di Vietnam bernilai US$1.87 bilion (RM7.61 bilion), selain kerjasama dengan CALB Group untuk membangunkan projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Asia Tenggara.
Ini termasuk usaha sama pengeluaran dan integrasi modul bateri untuk tenaga boleh diperbaharui serta kestabilan grid.
Selain tenaga, kumpulan itu turut terlibat dalam sektor pembinaan dan pelaburan hartanah.
Menurut JAKS Resources, pelupusan JSNT akan membuka nilai aset, mengurangkan pinjaman, menjimatkan kos faedah serta memperbaiki aliran tunai dan kedudukan kewangan kumpulan.
Daripada hasil pelupusan, sebanyak RM14.7 juta akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman, yang dijangka menjimatkan kira-kira RM0.8 juta kos faedah setahun.
Secara keseluruhan, transaksi itu dijangka memberikan keuntungan bersih RM6.84 juta kepada JAKS Resources.
Bagi prestasi kewangan terkini, JAKS Resources mencatat keuntungan bersih RM51.8 juta, meningkat 19%, bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept 2025, didorong oleh sumbangan usaha sama JAKS Hai Duong Vietnam, walaupun hasil merosot hampir 26% kepada RM30.8 juta.
Setakat 30 Sept 2025, kumpulan itu mempunyai pinjaman jangka pendek RM80 juta, pinjaman jangka panjang RM374 juta, serta tunai dan baki bank RM36.49 juta. - DagangNews.com








