KUALA LUMPUR 30 Mei – JAG Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM6.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) berbanding RM3 juta pada suku sama tahun lalu, dipengaruhi oleh penyusutan tempahan di peringkat antarabangsa susulan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat.
Pendapatan kumpulan juga susut kepada RM46.5 juta berbanding RM52.7 juta sebelumnya, berikutan pelanggan mengambil pendekatan berhati-hati dan menangguhkan tempahan.
Namun, kumpulan menyifatkan kesan itu sebagai sementara, dengan sentimen pasaran kini menunjukkan tanda pemulihan dan pelanggan sektor semikonduktor kembali kepada corak pembelian biasa.
Pengarah Eksekutif JAG, Datuk Ng Meow Giak berkata, walaupun 1QFY25 terjejas oleh faktor luar, kami yakin terhadap potensi pemulihan kukuh.
"Unjuran pengurusan kekal positif dan kami menjangka prestasi kembali mencatat keuntungan dalam baki tahun kewangan ini.
"Prospek jangka panjang sektor seperti semikonduktor dan elektronik kekal kukuh dan kami mencatat peningkatan 25% suku ke suku dalam pemprosesan bahan-bahan ini pada 1QFY25, menandakan potensi pertumbuhan ketara," katanya dalam satu kenyataan.
Segmen Pengurusan Sisa Menyeluruh (TWM) terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan peluasan ke sektor minyak dan gas serta perkhidmatan khusus seperti pelupusan sisa terjadual.
JAG turut memperkukuh daya tahan operasi menerusi pemulihan sisa industri, pemerolehan kontrak strategik, dan penerokaan pasaran baharu.
Harga logam bernilai seperti emas dan perak meningkat serta kestabilan harga tembaga turut menyokong kedudukan syarikat.
Syarikat memiliki stok simpanan mencukupi untuk menyokong operasi selama enam bulan akan datang dan berada dalam kedudukan baik untuk mengambil peluang daripada perubahan pasaran.
Kumpulan sedang merangka dasar dividen selari dengan asas perniagaan yang kukuh dan jangkaan pertumbuhan masa depan, bagi meningkatkan nilai kepada pemegang saham.- DagangNews.com








