Jabatan Penerbangan Awam Jepun iktiraf ExecuJet MRO Services Malaysia selenggara pesawat Falcon 2,000EX | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jabatan Penerbangan Awam Jepun iktiraf ExecuJet MRO Services Malaysia selenggara pesawat Falcon 2,000EX

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 Mei — Jabatan Penerbangan Awam Jepun (JCAB) mengiktiraf ExecuJet MRO Services Malaysia untuk menjalankan penyelenggaraan ke atas pesawat Falcon 2,000EX berdaftar di Jepun.

 

ExecuJet MRO Services Malaysia merupakan anak syarikat milik penuh syarikat aeroangkasa Perancis, Dassault Aviation.

 

Syarikat itu menerima kelulusan buat kali pertama daripada JCAB sebagai penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan, dan pengubahsuaian (MRO) luar negara.

 

Timbalan Presiden Eksekutif MRO ExecuJet Asia, Ivan Lim berkata, syarikat itu memohon pensijilan JCAB kerana permintaan pasaran yang semakin meningkat.

 

"Kami melihat Jepun sebagai pasaran besar untuk pesawat perniagaan, dan pengendalinya mahu menghantar pesawat kepada organisasi MRO milik pengeluar asal yang diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

"Dengan pertanyaan pelanggan dari Jepun yang semakin banyak, kami akan terus menambah jenis pesawat yang boleh diselenggara di sana," katanya dalam satu kenyataan.

 

ExecuJet MRO Services Malaysia turut mendapat pensijilan daripada 15 pihak berkuasa penerbangan lain termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat, dan Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA).- DagangNews.com