KUALA LUMPUR 22 Dis – Penyedia rumusan infrastruktur digital bersepadu berteraskan kecerdasan buatan (AI), ITMAX System Bhd, mengambil alih 70% ekuiti dalam Tapway Sdn Bhd bernilai RM5.6 juta sebagai sebahagian daripada strategi perluasan perniagaan ke segmen komersial dan sektor swasta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ITMAX berkata Tapway merupakan syarikat teknologi AI yang memfokuskan kepada rumusan visi AI komersial menerusi platform proprietari miliknya.
Pengambilalihan itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman ITMAX.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ITMAX, William Tan Wei Lun berkata, pengambilalihan berkenaan melengkapi penawaran sedia ada kumpulan dalam infrastruktur digital berasaskan AI.
Menurutnya, sebelum ini ITMAX memberi tumpuan kepada pelaksanaan infrastruktur digital berskala besar berasaskan langganan untuk bandar pintar dan agensi awam, namun Tapway menyediakan akses segera kepada kes penggunaan komersial yang terbukti merangkumi pusat beli-belah, ladang, lebuh raya dan fasiliti pembuatan.
“Dengan menggabungkan keupayaan perisian Tapway dan kekuatan ITMAX dalam aspek pelaksanaan infrastruktur, kesalinghubungan, operasi serta penyampaian perkhidmatan jangka panjang, kumpulan menyasarkan untuk menskalakan Tapway sebagai penyedia penyelesaian AI menyeluruh hujung ke hujung,” katanya.
Beliau berkata, urus niaga itu menandakan satu pencapaian strategik penting buat ITMAX dalam memperkukuh bakat AI tempatan serta mempercepatkan pengembangan kumpulan ke sektor swasta dan komersial.
Selain itu, pengambilalihan berkenaan dijangka meningkatkan aliran hasil berulang ITMAX dan memperdalam keupayaan teknologinya melalui penambahan pasukan visi AI tempatan yang berpengalaman.
ITMAX turut menjelaskan status Tapway sebagai Rakan Kongsi NVIDIA Metropolis akan mengukuhkan ekosistem AI kumpulan, sekali gus meletakkan ITMAX pada kedudukan strategik untuk menawarkan penyelesaian vision AI bertaraf perusahaan dan selari dengan piawaian global. - DagangNews.com








