KUALA LUMPUR 29 Ogos – Isuzu Malaysia kini memiliki Pusat 3S baharu di Kuantan, Pahang dalam usahanya memperkukuhkan lagi kehadiran jenama itu di Pantai Timur.
Terletak di kawasan Perindustrian Semambu, pusat sehenti yang dikendalikan oleh Dynamic Motors Sdn Bhd itu menampilkan identiti korporat terkini Isuzu.
Ia menawarkan kemudahan jualan, servis dan alat ganti bagi semua jenis kenderaan keluaran syarikat yang memudahkan urusan pelanggan di sekitar kawasan tersebut.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, pembukaan pusat tersebut tepat pada masanya dengan mengambil kira pertumbuhan populasi dan peningkatan penerimaan jenama Isuzu di pasaran tempatan.
“Selain kualiti dan kebolehpercayaan produk, Isuzu komited menyediakan pengalaman pemilikan yang menyeluruh dan memuaskan kepada pelanggan.
“Pusat 3S baharu ini dibangunkan khusus bagi memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi di Kuantan,” katanya.


Dengan keluasan tanah 3,500 meter persegi, pusat sehenti itu menyediakan ruang pameran, kawasan menunggu, kemudahan pandu uji, paparan digital serta perkhidmatan pelanggan yang lebih selesa.
Ia turut dilengkapi bengkel dengan laluan berbumbung bagi memudahkan pelanggan menyerahkan kenderaan untuk diselenggara.
Selain mempamerkan Isuzu D-Max dan Isuzu Elf, pusat ini turut berperanan sebagai pengedar sah model Forward dan trak Giga, sekali gus melengkapkan keseluruhan penawaran kenderaan Isuzu di rantau Pantai Timur.
Sementara itu, Pengerusi Dynamic Motors, Donald Chan berkata, pihaknya akan terus menawarkan perkhidmatan cemerlang sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang telah menyokong syarikat itu sejak 20 tahun lalu.
“Dengan sokongan berterusan daripada Isuzu Malaysia, kami yakin dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di Kuantan pada masa akan datang,” katanya. - DagangNews.com








