KUALA LUMPUR 7 Jan – Iskandar Waterfront City Bhd (IWC) menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd terhadap pelan regularisasi yang dicadangkan, merangkumi cadangan penyelesaian hutang serta pengurangan modal, bagi membolehkannya keluar daripada status penerbit tersenarai terjejas.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pemaju hartanah dan pembinaan itu berkata kelulusan berkenaan adalah merujuk kepada pengumuman syarikat bertarikh 20 Mac 2025 serta 22 dan 23 September 2025, yang berkaitan dengan pelan regularisasi dicadangkan.
Lembaga pengarah sebelum ini memaklumkan pada 10 Jun 2022 syarikat telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah Perenggan 8.03A(7)(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities, berikutan perniagaannya yang dianggap tidak signifikan apabila hasil konsolidasi mewakili kurang daripada lima peratus daripada modal saham syarikat.
Terdahulu, media tempatan melaporkan IWC merancang untuk melaksanakan pelan pelan regularisasi yang melibatkan penerbitan saham baharu bagi menyelesaikan hutang tertunggak, penempatan persendirian serta pengurangan modal, sebagai langkah untuk memulihkan kedudukan kewangan dan keluar daripada status penerbit tersenarai terjejas. - DagangNews.com








