ISF Group lancar IPO Pasaran ACE pada harga 33 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ISF Group lancar IPO Pasaran ACE pada harga 33 sen sesaham

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 8 Jan – ISF Group Bhd mula membuka permohonan saham kepada pelabur pada harga 33 sen sesaham sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Tawaran awam permulaan (IPO) itu dijangka mengumpul lebih RM61 juta untuk syarikat serta hampir RM30 juta kepada keluarga pengasas.

 

Berdasarkan prospektus penyenaraian yang dikeluarkan, IPO berkenaan melibatkan tawaran sehingga 28% kepentingan dalam syarikat pemasangan sistem perpaipan yang berpangkalan di Pontian itu.

 

Permohonan saham IPO akan ditutup pada 14 Jan, manakala penyenaraian dijadualkan pada 28 Jan.

 

ISF Group diasaskan pada penghujung tahun 2000 oleh Ai Sew Fuat bersama isterinya Lim Ay Yum, yang masing-masing kini berperanan sebagai pengarah eksekutif. 

 

Ai bertanggungjawab terhadap pelaksanaan projek, manakala Lim menguruskan kewangan dan pentadbiran kumpulan. 

 

Anak mereka, Ai Boon Chen, memegang jawatan pengarah urusan dan menyelia pembangunan korporat, pembangunan perniagaan serta perancangan strategik.

 

Daripada hasil IPO, kira-kira 19% akan diperuntukkan bagi penubuhan dan pengembangan kemudahan operasi, termasuk pembinaan ibu pejabat baharu di lokasi asal syarikat. 

 

Dana tersebut juga akan digunakan untuk pembelian mesin dan peralatan serta pengambilan puluhan kakitangan baharu.

 

Syarikat itu turut merancang pengembangan geografi dengan membuka sebuah pejabat sama ada di Selangor atau Negeri Sembilan, serta satu lagi di Pulau Pinang bagi menyokong pelaksanaan projek di wilayah tengah dan utara Semenanjung Malaysia.

 

Bagaimanapun, hampir dua pertiga daripada hasil IPO akan digunakan sebagai modal kerja, terutamanya bagi pembelian bahan operasi dan pembayaran kepada subkontraktor.

 

Sementara itu, Ai Sew Fuat, Lim Ay Yum dan Ai Boon Chen akan menawarkan saham bersamaan kira-kira 9% daripada pegangan gabungan mereka dalam IPO tersebut.

 

Selepas penyenaraian, pegangan kolektif keluarga pengasas dijangka berkurang kepada sekitar 72%.

 

Alliance Islamic Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan bagi IPO ISF Group. - DagangNews.com