IPO West River terlebih langgan sebanyak 0.26 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO West River terlebih langgan sebanyak 0.26 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 April – Syarikat kejuruteraan, West River Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 5 Mei 2025, mencatatkan terlebih langgan sebanyak 0.26 kali bagi bahagian awam saham baharu dalam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

 

Secara keseluruhan, IPO West River melibatkan terbitan 107.31 juta saham, merangkumi 71.54 juta saham baharu dan 35.77 juta saham ditawarkan untuk jualan. Daripada jumlah tersebut, 22.45 juta saham baharu diperuntukkan kepada pelabur awam.

 

IPO yang ditawarkan pada harga 39 sen sesaham itu menerima sambutan daripada pelabur runcit tempatan, dengan 1,288 permohonan diterima bernilai RM8.76 juta untuk bahagian awam.

 

Bagi peruntukan pelabur Bumiputera, sebanyak 548 permohonan diterima bagi 5.05 juta saham. 

 

Menurut kenyataan oleh Tricor Investor & Issuing House Services Sdn Bhd yang mewakili syarikat, baki saham yang tidak dilanggan telah ditarik balik dan diagihkan semula mengikut peruntukan "clawback" dan pengagihan semula yang ditetapkan dalam prospektus West River. 

 

Sementara itu, bagi kategori awam yang lain, 740 permohonan diterima bagi 17.41 juta saham mencerminkan kadar terlebih langgan sebanyak 0.95 kali. Saham yang diperuntukkan kepada individu layak telah dilanggan sepenuhnya, manakala saham yang diperuntukkan melalui penempatan persendirian juga telah diambil sepenuhnya.

 

Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada 29 April 2025.

 

West River dijangka meraih kutipan kasar sebanyak RM27.90 juta.

 

Daripada jumlah itu, RM10 juta akan digunakan untuk pembelian tanah dan pembinaan kilang serta gudang baharu, manakala RM5.6 juta diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman. 

 

Syarikat turut merancang menggunakan RM7.8 juta untuk keperluan modal kerja, sementara selebihnya akan digunakan bagi menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

 

Sementara itu, tawaran untuk jualan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dijangka mengutip sehingga RM13.95 juta, hasil yang akan diperoleh sepenuhnya oleh pemegang saham penjual, Neutron Capital Sdn Bhd, iaitu syarikat milik penuh Pengarah Urusan West River, Lim Yong Hai.

 

Sebaik sahaja disenaraikan, West River dijangka memiliki modal pasaran sebanyak RM139.5 juta, berdasarkan jumlah saham yang diperbesarkan kepada 357.7 juta unit.

 

West River merupakan sebuah syarikat yang mengkhusus dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E), sistem penyaman udara dan pengudaraan (ACMV), serta rumusan bangunan bagi pelbagai sektor termasuk komersial, perindustrian, dan infrastruktur.

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin, dan ejen penempatan bagi penyenaraian IPO itu. - DagangNews.com