IPO syarikat teknologi Sarawak, Insight Analytics terlebih langganan 53.62 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO syarikat teknologi Sarawak, Insight Analytics terlebih langganan 53.62 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Syarikat penyedia rumusan teknologi berpusat di Sarawak, Insights Analytics Berhad mencatatkan lebihan langganan sebanyak 53.62 kali bagi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, sebanyak 14,397 permohonan bagi 1.5 bilion saham baharu bernilai RM540.72 juta diterima daripada orang awam Malaysia, berbanding 27.5 juta saham baharu yang diperuntukkan untuk langganan awam.

 

Bagi bahagian awam Bumiputera, sebanyak 7,161 permohonan untuk 619.38 juta saham baharu diterima, menunjukkan lebihan langganan sebanyak 44.05 kali.

 

Sementara itu, bagi bahagian awam bukan Bumiputera, sebanyak 7,236 permohonan untuk 882.61 juta saham baharu diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 63.19 kali.

 

Selain itu, 11 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Insights Analytics di bawah peruntukan borang merah jambu (pink form) juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

M&A Securities Sdn Bhd yang bertindak sebagai ejen penempatan turut mengesahkan, sejumlah 82.5 juta saham yang ditawarkan melalui penempatan swasta kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih berjaya dianggan sepenuhnya.

 

Pengarah Urusan, Ts Frank Wee berkata, kumpulan itu amat berbesar hati dengan sambutan luar biasa terhadap IPO tersebut, yang mencapai kadar lebihan langganan 53.62 kali hanya dalam tempoh lima hari bekerja.

 

"Dengan dana hasil IPO ini, kami akan mempercepatkan pengembangan perniagaan serta menumpukan pada pembangunan rumusan IT baharu sambil meningkatkan prestasi perkhidmatan sedia ada. 

 

"Langkah ini akan membolehkan kami memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital Malaysia dalam pengurusan sumber air.

 

"Kami komited untuk menyumbang kepada inisiatif bandar pintar Sarawak serta meletakkan diri sebagai peneraju serantau dalam analitik utiliti pintar," katanya dalam satu kenyataan.

 

Di bawah pelan penyenaraian itu, Insights Analytics menyasarkan untuk mengumpul RM43.56 juta melalui terbitan awam sebanyak 121 juta saham baharu pada harga terbitan 36 sen sesaham.

 

Penyenaraian tersebut turut merangkumi tawaran jualan sebanyak 27.5 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI melalui penempatan swasta.

 

Berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 550 juta saham, Insights Analytics dijangka mempunyai modal pasaran bernilai RM198 juta semasa penyenaraiannya.

 

Insights Analytics dijadual disenaraikan di Pasaran ACE pada 27 Oktober 2025.

 

M&A Securities bertindak sebagai penasihat, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut.- DagangNews.com