IPO Sunway Healthcare dijangka tidak beri kesan besar kepada pendapatan kumpulan, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Sunway Healthcare dijangka tidak beri kesan besar kepada pendapatan kumpulan, kata HLIB

Gambar/FB Sunway Healthcare Group
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Mei - Cadangan tawaran awam permulaan (IPO) Sunway Healthcare Group (SHG) dijangka tidak memberi kesan besar kepada pendapatan kumpulan, sebaliknya hasil penyenaraian itu akan digunakan untuk menyokong perbelanjaan modal (capex) yang tinggi, terutamanya dalam segmen hartanah.

 

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), SHG menyasarkan untuk disenaraikan menjelang akhir tahun kewangan 2025 atau separuh pertama FY26.

 

Namun ia berkata, segmen penjagaan kesihatan masih menjadi sumber utama pendapatan Sunway Bhd dan syarikat dijangka terus memegang saham besar dalam SHG serta memasukkan hasilnya dalam laporan kewangan kumpulan.

 

"Dengan pembukaan hospital baharu dan bilangan pesakit dari luar negara yang semakin meningkat, penyenaraian ini tidak akan menjejaskan pendapatan dengan ketara.

 

"Pendapatan dari segmen hartanah dan pembinaan Sunway sedang menunjukkan peningkatan, jadi ia sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan kesan terhadap pendapatan sektor kesihatan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Sunway kini mengendalikan lima hospital selepas membuka Sunway Medical Centre (SMC) Damansara pada Disember tahun lalu dan SMC Ipoh pada April 2025, berbanding hanya tiga sebelum ini.

 

HLIB menjelaskan, pesakit luar negara menyumbang pendapatan lebih empat kali ganda setiap katil berbanding pesakit tempatan, serta margin keuntungan yang jauh lebih besar.

 

"Melihat potensi ini, SHG menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pesakit asing kepada 15 peratus pada tahun 2025, berbanding sekitar 10 peratus pada 2024.

 

"Ini akan meletakkan SMC Sunway City (SMCKL) sebagai pusat pelancongan perubatan serantau yang sedang berkembang," ujarnya.

 

Sementara itu, pada FY24, Sunway mencatat jualan hartanah tertinggi setakat ini iaitu RM3 bilion dan menyasarkan RM3.6 bilion pada tahun 2025, disokong oleh pelancaran projek bernilai RM4.1 bilion.

 

Sunway juga akan melalui tahun paling sibuk di Johor dengan pelancaran projek bernilai RM1.26 bilion.

 

"Walaupun projek perumahan yang dilancarkan di Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) berskala kecil, kumpulan sedang giat membangunkan kawasan industri, komersial dan pelancongan sebagai sumber pendapatan berterusan dan untuk menyokong pertumbuhan perumahan.

 

"Syarikat juga merekod pencapaian baharu di Singapura dengan empat projek yang sedang berjalan," tambah HLIB.

 

HLIB mengekalkan unjuran dan saranan 'beli' untuk saham Sunway dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM5.70. - DagangNews.com