IPO Paradigm REIT terlebih langgan 1.49 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPO Paradigm REIT terlebih langgan 1.49 kali menjelang penyenaraian di Pasaran Utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Paradigm Real Estate Investment Trust (REIT) yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 10 Jun 2025, mencatatkan terlebih langgan sebanyak 1.49 kali bagi bahagian awam tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

 

Sejumlah 4,408 permohonan untuk 79.78 juta saham baharu telah diterima daripada orang awam Malaysia mengakibatkan lebihan langganan keseluruhan sebanyak 1.49 kali.

 

Bagi peruntukan Bumiputera, sejumlah 571 permohonan untuk 4.65 juta saham baharu dan baki unit telah ditarik balik dan diagihkan semula berdasarkan peruntukan penarikan balik dan pengagihan semula seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 3.4.3 Prospektus Paradigm REIT bertarikh 16 Mei 2025.

 

Peruntukan bukan Bumiputera, sebanyak 3,837 permohonan untuk 75.13 juta saham diterima, mewakili lebihan langganan sebanyak 3.7 kali.

 

Sementara itu, sejumlah 73.61 juta saham telah dilanggan oleh pemegang saham WCT yang layak manakala 8.43 juta saham bagi tawaran Borang Merah Jambu telah dilanggan oleh pengarah dan pekerja yang layak dengan baki unit sudah ditarik balik dan dagihkan semula  

 

Selepas syarikat disenaraikan, Pengerusi Eksekutif WCT, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon akan memiliki kepentingan tidak langsung sebanyak 60.7% dalam Paradigm REIT melalui WCT.

 

Paradigm memiliki dan mengurus tiga pusat membeli-belah iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre, Paradigm Mall Petaling Jaya dan Paradigm Mall Johor Bahru.

 

Ketiga-tiga pusat membeli-belah berkenaan bernilai RM2.4 bilion dan kini mempunyai kadar penghunian yang penuh atau hampir penuh.

 

Maybank Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama dan pengurus utama proses penawaran. 

 

CGS International dan AmInvestment Bank pula menjadi penaja jamin bersama, manakala RHB Investment Bank turut membantu dalam proses jualan kepada pelabur. - DagangNews.com