KUALA LUMPUR 23 Mei - Syarikat penyedia rumusan pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia Bhd mencatat lebihan langganan sebanyak 1.89 kali oleh pelabur awam bagi tawaran awam permulaannya (IPO), menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 3 Jun ini.
ICT Zone Asia yang akan berpindah dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE, menawarkan sebanyak 154 juta saham dalam IPO tersebut, melibatkan 133 juta saham baharu dan 21 juta saham untuk jualan oleh pemegang saham sedia ada.
Agensi pemprosesan dan pentadbiran permohonan saham IPO di Bursa Malaysia, Malaysian Issuing House Sdn Bhd berkata, ICT Zone telah menerima 2,562 permohonan bagi 115.06 juta saham bernilai RM23.01 juta, sedangkan hanya 39.77 juta saham ditawarkan kepada orang awam.
Jelasnya, bahagian Bumiputera pula terlebih langgan sebanyak 1.1 kali, manakala bahagian awam mencatat lebihan langganan lebih tinggi iaitu 2.69 kali.
"Semua saham baharu dan sedia ada yang ditawarkan secara penempatan persendirian telah habis dilanggan, termasuk 89.09 juta saham baharu untuk pelabur Bumiputera yang dikenal pasti dan 21 juta saham sedia ada untuk pelabur terpilih.
"Sebanyak 4.14 juta saham baharu yang diperuntukkan kepada individu layak juga habis dilanggan," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Malaysian Issuing House, notis peruntukan saham kepada pemohon berjaya akan dihantar pada 29 Mei ini.
ICT Zone Asia dijangka memperoleh RM26.6 juta hasil daripada terbitan 133 juta saham baharu pada harga 20 sen sesaham, bersamaan 16.72% daripada jumlah saham selepas penyenaraian.
Selepas disenaraikan, nilai pasaran syarikat dijangka mencecah RM159.09 juta.
Hasil jualan 21 juta saham sedia ada pula akan diterima oleh dua pemegang saham utama iaitu ICT Zone Holding Sdn Bhd dan Datuk Seri Ng Thien Phing, yang kini memegang 72.85% kepentingan dalam syarikat.
Thien Phing juga ialah pengasas dan Pengerusi Eksekutif SkyWorld Development Bhd.
Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, serta penaja jamin dan ejen penempatan bersama bagi IPO berkenaan.
Kenanga Investment Bank pula merupakan penaja jamin dan ejen penempatan bersama, manakala SCS Global Advisory (M) Sdn Bhd ialah penasihat kewangan bagi penyenaraian itu. - DagangNews.com








