Integrasi rangkaian CelcomDigi mungkin ditangguhkan ke 2H25 disebabkan perubahan model operasi digital DNB, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Integrasi rangkaian CelcomDigi mungkin ditangguhkan ke 2H25 disebabkan perubahan model operasi digital DNB, kata RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mei - Integrasi rangkaian CelcomDigi Bhd dijangka ditangguhkan ke separuh kedua 2025 (2H25), berbanding sasaran asal pada pertengahan tahun ini susulan perubahan dalam model operasi Digital Nasional Bhd (DNB), kata RHB Research.

 

Katanya, model baharu itu dijangka memberi kesan kepada baki 25% tapak yang masih belum disepadukan.

 

"CelcomDigi percaya pengendali rangkaian mudah alih (MNO) atau pemegang saham akan mencapai kata sepakat dengan DNB tidak lama lagi, yang akan membawa kepada kerangka borong yang disemak semula.

 

"Ini kerana trafik 5G akan dikongsi dengan U Mobile sebagai penyedia infrastruktur 5G kedua," katanya dalam satu nota kajian.

 

Walaupun tiada perbincangan rasmi dengan U Mobile, firma penyelidikan itu berkata, CelcomDigi mengakui sebarang perjanjian borong baharu yang akan dimeterai kelak adalah berasaskan pertimbangan komersial.

 

"Kami difahamkan struktur borong sedia ada membenarkan MNO menamatkan perjanjian masing-masing dalam tempoh 30 hari selepas rangkaian 5G alternatif tersedia atau sebelum Januari 2028 dengan notis awal.

 

"Ini menunjukkan masa paling awal MNO boleh berbuat demikian adalah pada separuh kedua 2026, berdasarkan jangka masa pelaksanaan U Mobile yang dilaporkan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pelaksanaan komersial yang lebih kukuh dan realisasi sinergi hasil penggabungan akan berlaku selepas integrasi rangkaian CelcomDigi diselesaikan.

 

Sementara itu, ia menyatakan, sebahagian besar perbelanjaan modal (capex) CelcomDigi bagi tahun kewangan 2025 (FY25) antara RM1.8 bilion hingga RM2 bilion akan digunakan untuk naik taraf sistem IT, yang akan membawa kepada peningkatan perbelanjaan operasi (opex) dalam jangka pendek hingga sederhana.

 

"Perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan caj susut nilai yang dipercepatkan untuk aset rangkaian telah diambil kira dalam panduan pendapatan sebelum cukai CelcomDigi bagi FY25, dengan unjuran pertumbuhan satu digit rendah hingga pertengahan, yang turut mengambil kira caj borong 5G yang lebih tinggi," katanya.

 

RHB Research telah menyemak semula unjuran pendapatannya untuk CelcomDigi dengan pengurangan sebanyak 6.9% bagi FY25 dan 8.8% bagi FY26, serta peningkatan sebanyak 0.3% bagi FY27, terutamanya untuk mencerminkan kos integrasi IT yang lebih tinggi.

 

Firma itu mengekalkan saranan "beli" terhadap saham tersebut dengan harga sasaran (TP) RM4.40 sesaham.- DagangNews.com