Inta Bina raih kontrak RM264.5 juta bina pangsapuri servis 40 tingkat di Segambut | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inta Bina raih kontrak RM264.5 juta bina pangsapuri servis 40 tingkat di Segambut

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Inta Bina Group Bhd meraih kontrak bernilai RM264.5 juta daripada GDP Architects Sdn Bhd, yang mewakili 368 Segambut Sdn Bhd untuk membina dua blok pangsapuri servis setinggi 40 tingkat di Segambut.

 

368 Segambut Sdn Bhd ialah syarikat usaha sama yang dimiliki sama rata oleh IJM Land Bhd dan FCW Holdings Bhd yang terlibat dalam pembangunan projek bercampur di kawasan Segambut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Inta Bina berkata, projek berkenaan merangkumi keseluruhan 1,143 unit pangsapuri dengan tempoh pembinaan selama 38 bulan bermula 18 Ogos 2025 dan dijadualkan siap pada 17 Oktober 2028.

 

“Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan.

 

“Kumpulan akan membiayai kontrak ini melalui dana dalaman dan/atau pembiayaan luar dengan tiada risiko ketara dijangka selain risiko operasi sepanjang pembinaan,” jelas syarikat itu.

 

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, Inta Bina mencatat keuntungan bersih RM10 juta berbanding RM7.05 juta pada suku yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM194.6 juta daripada RM156 juta sebelumnya. - DagangNews.com