KUALA LUMPUR 9 Dis – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menegaskan perjuangan membanteras rasuah bukan sekadar tuntutan dasar, sebaliknya merupakan kewajipan moral dan amanah negara yang menentukan hala tuju masa depan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, Malaysia tidak akan mencapai kemakmuran sebenar selagi integriti institusi terus dikompromi dan kepercayaan rakyat terus terhakis.
“Integriti bukan isu politik, tetapi persoalan masa depan negara. Sejak penubuhannya, MASA kekal komited terhadap pembaharuan institusi dan tadbir urus berintegriti sebagai asas kepada visi pembangunan jangka panjang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena Hari Antirasuah Antarabangsa 2025.
Menurut MASA, pihaknya mengambil maklum pelbagai inisiatif di bawah kerangka pembanterasan rasuah negara, termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.
Namun, penekanan perlu diberikan kepada ketegasan serta ketelusan pelaksanaan, bukannya hanya tertumpu kepada kewujudan dasar semata-mata.

“Setiap langkah memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara profesional, berprinsip dan bebas daripada pengaruh luar bagi memastikan integriti institusi benar-benar terpelihara,” kata Azril.
Dalam pada itu, MASA menzahirkan kebimbangan apabila Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024, tidak berubah sejak 2023.
Keadaan ini, menurut MASA, menjadikan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk berada dalam kelompok 30 teratas menjelang 2025, serta aspirasi RMK13 untuk menembusi 25 teratas menjelang 2030, semakin mencabar tanpa pembaharuan struktur yang lebih tegas.
MASA turut merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai 2025, yang mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan lebih RM460 juta.
Menurut MASA, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan kos sebenar yang ditanggung rakyat.
Menurut Azril, penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pangkalan data bersepadu dan pemantauan masa nyata berupaya meningkatkan tahap ketelusan serta mengecilkan ruang manipulasi.
Namun, teknologi hanya berkesan sekiranya disertai keberanian institusi untuk menegakkan integriti tanpa kompromi.
“Budaya toleransi sifar terhadap rasuah juga perlu dipupuk secara berterusan melalui pendidikan integriti yang kritikal, berasaskan bukti dan dekat dengan realiti masyarakat. Masyarakat berintegriti hanya boleh dibentuk melalui sistem yang turut berintegriti,” katanya.
MASA turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara sektor awam, sektor swasta, NGO dan masyarakat sivil yang perlu digerakkan secara profesional dan terbuka, tanpa dipengaruhi sentimen atau kepentingan sempit.
“Malaysia tidak akan mampu melangkah jauh ke hadapan sekiranya rasuah terus membebankan negara dari sudut ekonomi dan moral,” menurut Azril.
Sempena Hari Antirasuah Antarabangsa ini, MASA menegaskan masa depan negara bergantung kepada keberanian institusi dan masyarakat menolak rasuah dalam apa jua bentuk, sambil menegaskan institut itu akan terus bersuara secara profesional dan berprinsip bagi memastikan agenda pembaharuan institusi dilaksanakan dengan kejujuran, ketelusan dan keadilan sebenar. - DagangNews.com








