KUALA TERENGGANU 6 Ogos – Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus komited memperkasakan ekonomi Terengganu menerusi penganjuran Seminar Usahawan MADANI: Pembangunan Produk dan Servis (SUM:PPS).
Program itu memberi penekanan kepada pengukuhan asas pembangunan produk dan perkhidmatan, meliputi aspek utama seperti teknik penghasilan, analisis pasaran, pengiraan kos serta enam fasa penting dalam proses pembangunan bagi memastikan penawaran yang mampan dan kompetitif.
Seramai 30 peserta terpilih turut berpeluang menjalani sesi penilaian secara langsung bersama jurulatih bertauliah dan pemain industri, sekali gus menerima maklum balas konstruktif berhubung potensi serta aspek yang boleh ditambah baik sebelum dipasarkan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah INSKEN, Mustaffa Kamil Ayub berkata,uni berkata, seminar itu menjadi medan penting untuk menepis persepsi negatif kononnya ilmu pembangunan produk atau servis adalah tidak relevan dan tidak memberi kesan langsung kepada kejayaan perniagaan.
“Tanpa ilmu yang betul, ramai usahawan akhirnya membazir masa, tenaga dan wang terhadap produk atau servis yang sukar dijual dan tidak mendapat sambutan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian seminar itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Datuk Ariffin Deraman hari ini.
Tambahnya, usahawan perlu berfikir secara strategik dan kritikal serta menyesuaikan tawaran mereka dengan keperluan sebenar pasaran agar produk yang dibangunkan kekal relevan dan berdaya saing.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak penglibatan daripada agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa agenda pembangunan usahawan tempatan secara kolektif.

Penganjuran seminar ini merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Sabasun HyperRuncit Sdn. Bhd., Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan beberapa lagi pihak berkepentingan.
Sejak penganjuran pertamanya, SUM:PPS telah berjaya menarik lebih 4,000 penyertaan melalui 10 siri seminar di seluruh negara. Bagi tahun 2025, INSKEN menyasarkan untuk melaksanakan SUM:PPS di 15 lokasi strategik bagi memperluas akses latihan kepada lebih ramai usahawan. - DagangNews.com








