Insiden kren runtuh di Tanjung Bin: Operasi Malakoff tidak terjejas, CGSI kekal saranan Tambah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Insiden kren runtuh di Tanjung Bin: Operasi Malakoff tidak terjejas, CGSI kekal saranan Tambah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis – Malakoff Corporation dijangka terus mengekalkan operasi asasnya walaupun menghadapi insiden kren runtuh di Kompleks Tanjung Bin (TBC) di Johor pada 13 Disember 2025, kata CGS International.

 

Insiden yang berlaku di kawasan jeti pengendalian arang itu mengorbankan dua pekerja kontraktor dan mencederakan tiga yang lain.

 

Malakoff mengesahkan operasi Tanjung Bin Power (TBP, 2.1GW) dan Tanjung Bin Energy (TBE, 1.0GW) tidak terjejas.

 

CGSI berkata, ini merupakan insiden keselamatan kedua di TBC dalam tempoh tiga bulan, selepas kebakaran di fasiliti TBE pada Oktober 2025, yang mungkin meningkatkan pengawasan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

 

Menurut penilaian awal, lokasi pengendalian arang jauh daripada yard arang dan unit penjanaan, mengurangkan risiko gangguan segera terhadap operasi penjanaan kuasa di TBC. 

 

TBP dan TBE menyumbang kira-kira 12% daripada kapasiti penjanaan berdaftar Semenanjung Malaysia.

 

CGSI berkata, dari perspektif kewangan dan operasi, impak jangka pendek dilihat terkawal kerana insiden ini hanya melibatkan satu aset pengendalian arang. 

 

“Stok arang sedia ada dijangka mencukupi untuk mengekalkan operasi selama 1-2 bulan,” kata CGSI dalam nota kajiannya hari ini.

 

Malakoff mencatatkan insiden maut tempat kerja pertama sejak penyenaraian semula pada 2015.

 

CGSI berkata, insiden ini dijangka menimbulkan perhatian dalam kalangan pelabur dan pasaran, tetapi risiko gangguan operasi jangka panjang adalah rendah.

 

Sejak insiden TBE pada Oktober, harga saham Malakoff telah jatuh kira-kira 22%, mencerminkan premium risiko yang tinggi terhadap operasi yang tidak konsisten di pasaran.

 

“Sementara itu, aset gas Malakoff menunjukkan rekod operasi lebih stabil berbanding aset arang yang melibatkan proses pengendalian bahan api lebih kompleks. 

 

“Ini memberi keyakinan bahawa operasi asas syarikat masih kukuh. Pada harga penutupan RM0.855, pasaran menilai aset sedia ada pada diskaun berbanding anggaran nilai RM0.95/saham dan tidak mengambil kira potensi  pertumbuhan, termasuk projek sisa-ke-tenaga, mini-hidro, pelanjutan loji dan loji gas baharu,” katanya.

 

CGSI mengekalkan saranan Tambah dengan harga sasaran RM1.20 sesaham mengambil kira potensi pertumbuhan daripada projek masa depan dan prestasi operasi yang mantap.

 

Namun, firma itu mengingatkan bahawa inisiden keselamatan yang berulang berisiko memberi tekanan terhadap harga saham dalam jangka pendek sehingga siasatan selesai serta prospek masa depan lebih jelas. - DagangNews.com