KUALA LUMPUR 11 April - Pengeluar utama bahan penebat di Asia Tenggara yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, PGF Capital Berhad, menyambut baik keputusan terkini Kerajaan Negeri Victoria, Australia untuk mengurangkan kos pemasangan penebat siling di bawah program Victorian Energy Upgrades (VEU), bermula awal tahun 2026.
Langkah itu dijangka meningkatkan permintaan terhadap rumusan penebat haba keluaran PGF Capital di Victoria, yang memiliki lebih 7 juta penduduk.
Di bawah program VEU, kos purata pemasangan penebat siling akan dikurangkan daripada RM8,306 kepada RM4,152.
Inisiatif tersebut bukan sahaja menggalakkan kecekapan tenaga, malah dijangka membantu isi rumah menjimatkan kira-kira RM1.10 bilion bil elektrik setahun.
Data kerajaan menunjukkan, sekitar 200,000 rumah di Victoria tidak mempunyai sebarang penebat, manakala hampir 60% rumah lain mempunyai siling kurang berpenebat.
Program berkenaan memberi insentif kewangan melalui sistem sijil boleh niaga untuk menaik taraf penggunaan tenaga.
Sejak 2009, ia telah membantu lebih 170,000 perniagaan dan 2.4 juta isi rumah menjimatkan lebih RM1.2 bilion, menjadikan ia peluang pasaran besar buat syarikat penebat seperti PGF Capital.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fong Wern Sheng, syarikat bersedia menyokong pelaksanaan inisiatif kerajaan Victoria itu.
"Dengan kemudahan pengeluaran yang kukuh, pusat pengedaran strategik serta armada logistik di lokasi utama seperti Melbourne, kami yakin dapat memenuhi keperluan pengguna dengan bekalan penebat yang berterusan dan menepati masa," katanya dalam satu kenyataan.
Sejak menembusi pasaran Australia pada 2006, PGF Capital terus mengembangkan kapasiti pengeluarannya bagi memenuhi pertumbuhan permintaan termasuk daripada program VEU.
Kilang sedia ada di Perai, Pulau Pinang yang mampu menghasilkan 25,000 tan metrik setahun bakal disokong oleh kilang baharu di Kulim, Kedah berkapasiti 40,000 tan metrik.
Kilang baharu itu dijangka siap pada separuh pertama 2026, menjadikan jumlah kapasiti kepada 65,000 tan metrik setahun.
Wern Sheng menambah, beliau percaya jenama utamanya, Ecowool yang dihasilkan dengan piawaian ketat dapat memuaskan hati pemilik rumah dan profesional dalam mendapatkan penebat yang berkualiti dan boleh dipercayai.
Dalam kenyataan berasingan, PGF Capital turut memaklumkan, pelaksanaan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) tidak memberi kesan ketara terhadap operasinya memandangkan lebih 70% eksport kumpulan tertumpu ke rantau Oceania dan sekitar 20% hasil diperoleh daripada jualan domestik.
Buat masa ini, PGF Capital tidak mengeksport ke AS.
Prestasi kewangan PGF Capital juga kekal kukuh. Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2024 (9MFY25), kumpulan mencatat peningkatan hasil sebanyak 27.3% kepada RM121.3 juta berbanding RM95.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan dipacu oleh jualan kukuh dalam segmen penebat.
Keuntungan bersih juga melonjak 63.0% kepada RM20.0 juta berbanding RM12.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Setakat 30 November 2024, PGF Capital mencatat kedudukan kewangan yang sihat dengan baki tunai bersih RM8.7 juta dan nisbah hutang rendah pada 0.11 kali.
Aset bersih sesaham pula berada pada RM1.36, mencerminkan kekuatan kedudukan kewangan kumpulan secara keseluruhan. - DagangNews.com








