Innoprise Plantations lantik Kelvin Tan Aik Pen sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Innoprise Plantations lantik Kelvin Tan Aik Pen sebagai Pengarah Urusan baharu berkuat kuasa 1 Januari 2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 31 Dis – Innoprise Plantations Bhd melantik Datuk Kelvin Tan Aik Pen sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perladangan yang berpangkalan di Sabah itu berkata pelantikan Kelvin, 68, dibuat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kepimpinan pengurusan bagi menyokong pertumbuhan mampan operasi ladang kelapa sawit dan pengilangan kumpulan.

 

Kelvin bukan asing dengan Innoprise Plantations apabila beliau pernah memegang jawatan pengarah urusan dari 2006 hingga 2019, selain terlibat secara langsung dalam pembangunan operasi perladangan kumpulan daripada tapak ladang hijau kepada estet kelapa sawit matang serta operasi kilang.

 

Beliau juga merupakan pengerusi dan pengasas bersama TSH Resources Bhd, selain memegang jawatan pengarah di Ekowood International Bhd. 

 

Pengalaman luasnya merangkumi lebih empat dekad dalam industri pertanian, bermula dengan penglibatan dalam industri koko pada 1977 sebelum mengembangkan pendekatan bersepadu dan berdisiplin dalam sektor kelapa sawit di Sabah dan Indonesia.

 

Sepanjang kerjayanya, Kelvin telah mengetuai penyenaraian TSH Resources di Bursa Malaysia dan Bursa Singapura, di samping aktif menyokong inisiatif kelestarian serta pemuliharaan alam sekitar.

 

Innoprise Plantations memaklumkan Kelvin tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dengan pengarah atau pemegang saham utama syarikat, selain tiada konflik kepentingan atau kepentingan langsung dan tidak langsung dalam sekuriti syarikat atau anak syarikatnya. - DagangNews.com