KUALA LUMPUR 7 Jan – Tujuh persatuan perniagaan utama di Malaysia menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai inisiatif bernilai RM80 bilion untuk memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Tujuh persatuan tersebut ialah Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Persatuan Rakan Industri Rekabentuk Dalaman Malaysia (MIIP), SME Association of Malaysia dan Persatuan Penjual Buku Malaysia.
Perkara itu dinyatakan dalam satu pertemuan bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong di Putrajaya hari ini.
Mesyuarat libat urus itu turut membincangkan cabaran yang dihadapi komuniti perniagaan termasuk akses capaian modal, birokrasi yang kompleks, serta keperluan membina ekosistem ekonomi yang lebih kondusif untuk PMKS.
Dalam mesyuarat tersebut, Steven Sim berkata segala kebimbangan dan cabaran yang dibangkitkan adalah selari dengan Strategi ABCD Kementerian iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran yang menjadi panduan utama untuk memperkasakan PMKS di seluruh negara.
“Maklum balas jujur daripada sektor swasta adalah kunci untuk kerajaan menambah baik dasar sedia ada serta merangka intervensi yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.
“Kementerian menghargai kerjasama semua persatuan yang hadir dan berharap kerjasama kerajaan dan sektor swasta akan terus dibina kea rah mencapai ekosistem perniagaan yang kondusif, inovatif dan berdaya saing,” katanya.
Mesyuarat turut menekankan kepentingan inovasi berterusan, peningkatan produktiviti, dan pengembangan pasaran oleh para usahawan untuk memastikan kelangsungan serta pertumbuhan perniagaan mereka. - DagangNews.com








