Inisiatif kerajaan perkukuh pasaran buruh, pengangguran dijangka kekal rendah 3% hingga 2026 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inisiatif kerajaan perkukuh pasaran buruh, pengangguran dijangka kekal rendah 3% hingga 2026 - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Okt – Pasaran buruh negara dijangka kekal stabil dan berdaya tahan sehingga 2026, dengan kadar pengangguran kekal pada paras rendah 3%, menurut penganalisis.

 

Trend positif ini dipacu oleh pengambilan pekerja yang konsisten dalam sektor berorientasikan domestik, peningkatan pendapatan isi rumah serta inisiatif kerajaan memperkukuh kemahiran tenaga kerja dalam bidang teknologi tinggi dan industri hijau.

 

Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) menjangkakan kadar pengangguran stabil ini akan memberi kesan positif terhadap perbelanjaan penggunaan swasta, dengan pertumbuhan diunjurkan sebanyak 5.3% bagi 2025.

 

“Keadaan guna tenaga hampir penuh yang ditunjukkan oleh kadar pengangguran 3% serta peningkatan pendapatan isi rumah akan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk perbelanjaan swasta,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Data terkini menunjukkan kadar pengangguran kekal pada 3% bagi bulan kelima berturut-turut pada Ogos 2025. 

 

Jumlah penganggur menurun kepada 520,000 orang, manakala jumlah guna tenaga meningkat 3.1% kepada 16.98 juta orang.

 

Pertambahan pekerjaan dilihat merentasi pelbagai sektor, terutamanya perkhidmatan seperti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi serta makanan dan minuman, selain disokong sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan.

 

Firma itu berkata, kadar pengambilan semula kekal tinggi walaupun pemberhentian kerja meningkat kepada 6,683 orang pada Ogos, menunjukkan peluang pekerjaan baharu yang kukuh.

 

Selain tu, jumlah pekerja sendiri meningkat kepada 3.22 juta orang berikutan peningkatan penyertaan dalam ekonomi gig. 

 

Pelaksanaan Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 dan skim i-Saraan Plus dalam Belanjawan 2026 dijangka memperkukuh jaringan keselamatan sosial untuk kumpulan ini.

 

Sementara itu, Kenanga Research pula menyatakan kadar penyertaan tenaga buruh mencatat paras tertinggi sebanyak 70.9% dengan jumlah tenaga buruh mencecah 17.51 juta orang.

 

Firma itu berkata, peluang pekerjaan dijangka terus meningkat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 ( dengan jangkaan ketibaan 47 juta pelancong. 

 

“Ini bakal merancakkan sektor pelancongan dan perkhidmatan yang berkaitan dalam menyediakan peluang pekerjaan.

 

“Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM3 bilion untuk program peningkatan kemahiran melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta RM650 juta kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.

 

“Kesemua inisiatif ini akan membantu memperkukuh pasaran buruh, meningkatkan peluang pekerjaan untuk belia dan mengekalkan kadar pengangguran rendah secara berterusan,” katanya.- DagangNews.com