KUALA LUMPUR 6 Jan – Syarikat pembinaan, Ingenieur Gudang Bhd, melupuskan sebidang tanah seluas 1.9 ekar bersama sebuah kilang dan bangunan pejabat di Nilai, Negeri Sembilan pada harga RM22 juta secara tunai.
Pembeli hartanah tersebut ialah Baba Products (M) Sdn Bhd, pengeluar serbuk kari dan produk makanan berasaskan serbuk.
Menurut pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan dimiliki 80% oleh Pagalavan C Rangasami dan 20% oleh Rajasulochana Pagalavan.
Ingenieur Gudang berkata, hartanah yang ketika ini kosong dan tidak diduduki itu mempunyai nilai saksama sebanyak RM16 juta setakat akhir November 2024.
Susulan pelupusan tersebut, kumpulan itu menjangkakan keuntungan bersih sebanyak RM5.8 juta.
Bagaimanapun, syarikat memaklumkan tiada penilaian rasmi dijalankan bagi tujuan urus niaga berkenaan.
Hasil daripada penjualan itu akan digunakan bagi keperluan modal kerja am, selain membiayai peluang pelaburan berpotensi yang selari dengan objektif jangka panjang kumpulan, katanya.
Urus niaga berkenaan dijangka diselesaikan pada suku pertama 2026. - DagangNews.com








