KUALA LUMPUR 28 Julai – Pelaburan mega Infineon Technologies AG bernilai RM30 bilion akan meletakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran semikonduktor berteknologi tinggi dan mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat tempatan.
Pelaburan itu adalah hasil kunjungan perdagangan yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman sebelum ini, susulan pertemuan bersama pengurusan tertinggi syarikat gergasi semikonduktor dari negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata, ketika ini, potensi pelaburan yang diumumkan itu telah menjadi realiti.
“Infineon telah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab yang terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah,” kata Tengku Zafrul melalui platform media sosial rasminya.
Beliau berkata, fasa pertama kilang berkenaan telah siap dan mula beroperasi yang mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia serta pengiktirafan terhadap peranan aktif kerajaan pusat dalam menarik pelaburan bernilai tinggi ke negeri Kedah.
Selain itu, beliau berkata, pelaburan strategik ini turut memberi limpahan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi program pembangunan vendor yang telah dilancarkan pada 15 Januari 2025, yang setakat ini menyokong lebih 139 syarikat tempatan.
“Ini merupakan satu komitmen besar daripada Infineon, sekali gus membuktikan keyakinan mereka terhadap ekosistem dan dasar pelaburan negara.
“Bayangkan berapa ramai rakyat Malaysia yang menerima manfaat dari program ini,” katanya.
Tengku Zafrul turut membidas persepsi negatif sesetengah pihak yang sering mendakwa pengumuman Perdana Menteri hanya sekadar fakta kosong.
“Masih lagi nak tuduh potensi pelaburan oleh YAB PM cuma pengumuman kosong? Dari potensi, kita jadikan realiti!,” katanya. - DagangNews.com








