KUALA LUMPUR 16 Mei - Ahli-ahli Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyatakan kebimbangan, Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang dikenakan dalam industri semikonduktor boleh menjejaskan operasi sektor berkenaan.
Menerusi Kajian Pulse Survey bagi Suku Tahunan Elektronik dan Elektrik (E&E) Semikonduktor MSIA untuk suku pertama 2025, sebanyak 65% daripada responden menjangkakan kesan negatif terhadap industri dalam tempoh setahun akan datang akibat polisi dan tarif tersebut.
Kira-kira 74% responden pula bimbang dasar berkenaan akan menghalang pelaburan dan menurunkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan.
Penemuan itu mencerminkan kebimbangan mendalam dalam industri semikonduktor Malaysia terhadap kemungkinan polisi tarif yang dikenakan oleh AS.
Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, pelaksanaan tarif AS boleh mengurangkan permintaan global dan memberi kesan kepada Malaysia serta negara perdagangan utama lain.
"Kami berharap kerajaan Malaysia dapat berbincang dengan AS untuk mendapatkan syarat tarif yang lebih baik, memandangkan Malaysia telah menyumbang kepada perkembangan syarikat semikonduktor AS selama lebih 50 tahun," katanya.
Menurut beliau, walaupun kebanyakan produk E&E dan semikonduktor masih belum dikenakan tarif balas, perkara itu sedang dikaji dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri.
Siew Hai turut memaklumkan, perubahan tarif dan kawalan eksport yang kerap telah mengganggu rantaian bekalan, menyebabkan kos meningkat dan memperlahankan ekonomi global. - DagangNews.com








