Industri O&G huluan Malaysia masih kukuh walaupun pasaran global lemah - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri O&G huluan Malaysia masih kukuh walaupun pasaran global lemah - MIDF Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Mei - Aktiviti industri minyak dan gas (O&G) huluan di Malaysia dijangka kekal stabil walaupun berdepan pasaran tenaga global yang suram, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu meramalkan, pelaburan berterusan oleh Petronas akan membantu mengekalkan pengeluaran minyak dan gas negara pada dua juta tong sehari untuk tempoh tiga tahun akan datang, seperti dinyatakan dalam Laporan Aktiviti Petronas 2025-2027.

 

Sebanyak 69 telaga minyak dan gas akan dibangunkan tahun ini dengan projek gas luar pesisir seperti Kasawari, Jerun dan B14 dijangka menyumbang hampir 50% pengeluaran gas asli negara.

 

Menurut MIDF Research, ini menunjukkan sektor huluan akan kekal stabil dalam masa terdekat, kecuali jika berlaku kejatuhan harga minyak atau konflik perdagangan global.

 

"Bagi segmen pertengahan, permintaan yang stabil dan harga tinggi gas asli cecair (LNG), dijangka mengukuhkan sektor pengangkutan dan penapisan gas.

 

"Namun, bahagian penghantaran mungkin terjejas jika berlaku perang tarif, yang boleh menyebabkan penggunaan dalam negara menurun dan mengurangkan permintaan terhadap kapal tangki LNG dan minyak mentah," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research menyatakan, kejatuhan harga minyak mentah boleh mendorong pengeluar menyimpan minyak di terminal darat dan ini memberi kelebihan kepada syarikat yang mempunyai kemudahan penyimpanan.

 

Tambahnya, segmen hiliran industri petrokimia masih berdepan cabaran seperti lebihan bekalan, permintaan yang lemah dan harga polimer yang rendah. 

 

"Namun, sebanyak 31 projek petrokimia akan dimulakan sebelum akhir tahun ini, disokong oleh permintaan tempatan yang masih kukuh," jelasnya.

 

MIDF Research percaya, subsektor berkenaan boleh mencapai keseimbangan antara bekalan dan permintaan melalui penggunaan teknologi moden dan pengeluaran produk yang lebih mesra alam.

 

Firma penyelidikan itu dalam masa sama menjangka, harga minyak mentah akan berada dalam lingkungan antara RM255.45 hingga RM298.02 setong, dipengaruhi oleh peningkatan pengeluaran dari Amerika Syarikat dan negara-negara OPEC+.

 

Ia juga berhati-hati dengan prestasi syarikat dalam rantaian nilai O&G dan mengekalkan penilaian 'neutral' terhadap sektor tersebut.

 

MIDF Research berkata, syarikat yang mempunyai kontrak jangka panjang untuk perkhidmatan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dan kapal sokongan luar pesisir akan mencatat prestasi baik. 

 

Jelasnya, ini termasuk syarikat yang terlibat dalam kejuruteraan, pembinaan dan penyelenggaraan di peringkat huluan dan pertengahan.

 

MIDF Research juga melihat potensi pada syarikat yang aktif dalam penyimpanan LNG, eksport tenaga bersih dan tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan usaha peralihan tenaga dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Sebagai pilihan utama sektor tersebut, MIDF Reserach mencadangkan pelabur membeli saham Petronas Dagangan Bhd (PetDag) dengan harga sasaran RM22.25 sesaham, kerana margin keuntungan yang stabil, permintaan berterusan dan dividen yang menarik hasil daripada aliran tunai positif dan kos pelaburan yang rendah. - DagangNews.com