KUALA LUMPUR 3 April - Industri berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit, dan produk getah dijangka terjejas dengan kenaikan tarif timbal balik yang dikenakan Presiden Donald Trump sebanyak 24%, kata Mercury Securities.
Katanya, sektor E&E dijangka menerima kesan besar kerana ia merupakan eksport utama dengan pendedahan besar kepada pasaran Amerika Syarikat (AS), China dan hab serantau.
Firma penyelidikan itu berkata, tarif timbal balik itu akan menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan peralihan permintaan yang boleh menjejaskan pembuatan cip dan pengeksport komponen.
"Sektor minyak sawit akan turut menerima kesan kerana Malaysia mengeksport secara langsung dan tidak langsung ke AS dan pasaran lain yang turut terkesan akibat tarif timbal balik.
"Kesannya, perang perdagangan baharu mungkin mengehadkan akses, menguatkan sentimen perlindungan dan meingkatkan persaingan global.
"Selain itu, produk getah seperti sarung tangan juga akan terkesan kerana Malaysia merupakan pengeksport dominan khususnya ke pasaran AS. Walaupun kesan tarif itu adalah kecil tetapi permintaan daripada negara itu boleh menjadi lemah jika negara itu merombak sumber mereka," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Trump kenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas Malaysia
Terdahulu, Presiden AS ke-47 itu menerbitkan senarai rakan dagangan terbesar negara dan tarif timbal balik yang akan dikenakan AS ke atas mereka, dengan Malaysia amat tinggi dalam senarai itu.
Secara khususnya, Malaysia berada di tempat ke-11 dalam senarai tersebut, yang seterusnya mendedahkan, AS akan mengenakan tarif timbal balik 24% ke atas negara ini.
Menurut Trump, ini adalah sebagai tindak balas terhadap tarif 47% Malaysia yang dikenakan kepada AS, termasuk manipulasi mata wang dan halangan perdagangan, seperti di Rumah Putih.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, pada masa sama, sektor jentera dan peralatan juga mungkin menerima kesannya memandangkan ekport berteknologi tinggi serta industri ke AS boleh terjejas disebabkan pembeli terkesan dengan peningkatan kos.
Katanya, tarif timbal balik itu juga mungkin menyebabkan penurunan permintaan atau mengalihkan perdagangan kepada pengeluar dengan kos rendah.
"Industri tekstil dan pakaian walaupun kecil tetapi tetap menerima impak, walaupun dijangka menerima kelemahan jangka pendek tetapi menghadapi risiko daya saing jangka panjang," katanya.
Mercury Securities berkata, pendedahan langsung Malaysia kepada tarif timbal balik Trump tidak terlalu besar berbanding dengan ekonomi yang lebih besar dan beberapa negara ASEAN.
Bagaimanapun, kesan daripada kelembapan perdagangan, peralihan rantaian bekalan dan peralihan pelaburan masih boleh memberi kesan yang ketara kepada ekonomi Malaysia.
"Penggubal dasar berkemungkinan menumpukan pada penyepaduan serantau, kepelbagaian perdagangan dan peningkatan industri untuk mengharungi cabaran ini.
"Ekonomi Malaysia mungkin menawarkan lebih ruang untuk bernafas daripada cabaran yang lebih luas yang ditimbulkan oleh persekitaran perdagangan global semakin dilindungi," katanya.- DagangNews.com








