KUALA LUMPUR 15 Okt - Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebenar Malaysia pada kadar 4.5% bagi tahun 2025 dan 4% bagi tahun 2026.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) Oktober 2025 bertajuk “Global Economy in Flux, Prospects Remain Dim” yang dikeluarkan, IMF sebelum ini menetapkan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun 2024 pada 5.1%.
Bagi ekonomi pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun, IMF menjangkakan pertumbuhan akan sederhana kepada 4.2% pada 2025 dan 4% pada 2026, berbanding 4.3% pada 2024.
IMF berkata, angka itu hampir tidak berubah berbanding kemas kini WEO Julai 2025 dan merupakan peningkatan kumulatif sebanyak 0.6 mata peratusan berbanding laporan April 2025.
Namun begitu, angka tersebut lebih rendah sebanyak 0.2 mata peratusan berbanding laporan Oktober 2024, dengan negara berpendapatan rendah mengalami semakan penurunan lebih besar berbanding negara berpendapatan sederhana.
Bagi rantau Asia membangun dan sedang pesat membangun, pertumbuhan dijangka menurun daripada 5.3% pada 2024 kepada 5.2% pada 2025, dan seterusnya 4.7% pada 2026, menurut IMF.
“Bagi beberapa negara di rantau ini — terutamanya dalam kalangan ASEAN yang paling terkesan — evolusi unjuran pertumbuhan sebahagian besarnya meniru perubahan dalam kadar tarif efektif,” kata laporan itu.
IMF turut menjelaskan, bagi China, unjuran pertumbuhan KDNK 2025 telah disemak turun sebanyak 0.6 mata peratusan dalam laporan WEO April 2025, susulan ketegangan perdagangan yang meningkat dengan Amerika Syarikat (AS), sebelum disemak naik semula sebanyak 0.8 mata peratusan dalam kemas kini Julai selepas penangguhan kenaikan tarif pada Mei.
Tambah IMF lagi, prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam beberapa suku tahun kebelakangan ini mencerminkan peningkatan awal dalam perdagangan antarabangsa serta penggunaan domestik yang masih teguh, disokong oleh pengembangan fiskal pada 2025, yang berjaya mengimbangi kesan negatif daripada ketidaktentuan global dan tarif yang lebih tinggi.- BERNAMA








