KUALA LUMPUR 15 Ogos – Iltizam Catalyst, program utama di bawah tonggak keusahawanan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) berjaya memperkasakan transformasi menyeluruh 19 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera dan mengukuhkan asas perniagaan mereka berkembang ke tahap lebih tinggi serta berdaya saing di pasaran.
Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, kesemua syarikat berkenaan telah melalui proses transformasi berstruktur yang memfokuskan kepada empat bidang teras iaitu pengurusan kewangan dan pematuhan, penjenamaan dan pemasaran digital, penerapan teknologi, serta pembangunan kepimpinan.
Beliau berkata, program itu dirangka bagi merangsang pemikiran strategik, memupuk bakat, memperkukuh operasi dan tadbir urus selain menggalakkan inovasi bagi memacu pertumbuhan mampan.
“Iltizam Catalyst bukan sekadar program bimbingan. Ia adalah satu ekosistem sokongan yang menyeluruh bagi memastikan PKS Bumiputera bersedia menghadapi cabaran perniagaan, menembusi pasaran baharu.
“Program ini juga memberi peluang kepada mereka agar lebih berani meneroka potensi baharu dan mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 2024, Ekuinas memperuntukkan RM15.3 juta di bawah Iltizam untuk inisiatif dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti, yang memberi manfaat kepada lebih 17,000 individu, keluarga dan perniagaan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, RM5 juta dikhususkan untuk program berfokuskan keusahawanan, termasuk Iltizam Catalyst dan Iltizam Advance.
Sejak dilancarkan, Iltizam telah menyalurkan lebih RM115 juta ke arah pembangunan sosioekonomi di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, berdasarkan petunjuk prestasi utama yang ditetapkan pada 2023, Iltizam Catalyst 2024 telah mencapai hasil yang cemerlang sepanjang pelaksanaannya.
Beliau berkata, 95% peserta memperoleh hala tuju perniagaan yang lebih jelas, 89% berjaya meningkatkan pemikiran keusahawanan dan kepimpinan, 79% mengukuhkan kehadiran jenama di pasaran manakala 68% mencatatkan keuntungan produk yang lebih tinggi.
“Program tahun ini menekankan intervensi strategik yang bersesuaian dengan keperluan setiap syarikat peserta, termasuk latihan intensif, konsultasi pakar industri, serta akses kepada peluang rangkaian perniagaan.
“Pendekatan itu membolehkan peserta mengadaptasi amalan terbaik industri, meningkatkan kecekapan operasi dan memperluaskan capaian pelanggan melalui strategi digital yang lebih berkesan,” katanya.- DagangNews.com








