KUALA LUMPUR 22 April — IKEA Malaysia meraikan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian operasinya di negara ini dengan pelancaran rasmi sejumlah 2,668 panel solar di cawangan IKEA Damansara, Selangor hari ini.
Pemasangan yang meliputi kawasan bumbung berkeluasan hampir 12,000 meter persegi itu dirasmikan bersempena dengan sambutan Hari Bumi Sedunia 2025 oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Peruncit kelengkapan rumah itu berkata, panel tersebut menjana 2 MWj tenaga setiap tahun dan menyumbang sehingga 25 peratus daripada keperluan tenaga serta mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 1,330 tan setahun.
Menurut Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, dengan penambahan itu, IKEA Malaysia kini memiliki sejumlah lebih 20,437 panel solar yang dipasang di semua gedung serta pusat beli-belahnya di seluruh negara.
"Kapasiti gabungan kesemua panel ini menjadikan penjanaan tenaga boleh diperbaharui IKEA Malaysia mencecah 6.3 MWj setahun dan kelestarian merupakan teras utama kepada segala yang kami lakukan di IKEA sendiri," katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pihaknya komited untuk memberi impak positif kepada manusia dan juga alam sekitar yang didorong oleh visi syarikat gergasi tersebut bagi mencipta kehidupan seharian lebih baik kepada ramai orang.
Pruys menambah, usaha pemasangan solar baharu ini merupakan langkah penting dalam perjalanan IKEA Malaysia ke arah sebuah perniagaan yang positif terhadap iklim selain terus berusaha untuk memimpin melalui teladan.

"Kami percaya bahawa kepimpinan bermula dengan tindakan. Sebagai peruncit, kami sedar jejak alam sekitar yang ditinggalkan operasi harian kami, dan sentiasa meneroka cara baharu yang lebih lestari untuk beroperasi." katanya.
IKEA Malaysia merupakan antara peruncit pertama menghentikan penggunaan plastik sekali guna serta beralih kepada pencahayaan LED selain memperkasakan kehidupan lestari melalui rumusan kediaman mampu milik dan jimat tenaga.
Selain penerapan tenaga solar, IKEA Malaysia turut melabur untuk mengurangkan jejak karbon dengan IKEA Cheras di Kuala Lumpur merupakan gedung IKEA pertama di dunia memperoleh pensijilan Emas Indeks Bangunan Hijau Malaysia.
Ia diikuti oleh IKEA Batu Kawan di Pulau Pinang dan syarikat ini juga sedang memperluas penggunaan kenderaan elektrik, sebagai sebahagian matlamatnya untuk menjadikan 100 peratus penghantaran ke rumah melalui pengangkutan lestari menjelang 2030.
Sementara itu Nik Nazmi dalam ucapannya menekankan peranan penting sektor swasta memacu matlamat iklim negara kerana peralihan ke arah masa depan rendah karbon dan tahan iklim bukanlah satu tanggungjawab yang boleh digalas oleh kerajaan sahaja.
"Ia memerlukan pendekatan seluruh negara dan sektor swasta ialah rakan penting dalam menggerakkan agenda kelestarian ini ke hadapan. IKEA menunjukkan bahawa memelihara alam sekitar dan mengurus perniagaan dengan baik boleh berjalan seiring,” katanya. - DagangNews.com








