KUALA LUMPUR 14 April - Syarikat usaha sama IJM Corporation Bhd dan Perennial Holdings Pte Ltd, lJM Perennial Development Sdn Bhd, memeterai kerjasama strategik dengan Korea International Exhibition Center (KINTEX) bagi mengurus Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) yang bakal dibuka secara rasmi pada Oktober 2025.
Perkongsian strategik itu dibuat melalui anak syarikat KINTEX di Malaysia, KinMalaysia Management Sdn Bhd (KINTEX Malaysia).
IJM Corporation berkata, sebanyak dua perjanjian telah ditandatangani iaitu perjanjian perkhidmatan operasi dan Memorandum Persefahaman (MoU) yang bertujuan mempromosikan PWCC sebagai lokasi mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Pulau Pinang.
PWCC merupakan komponen utama projek pembangunan tepi laut The Light City di pesisir timur Pulau Pinang.
Apabila siap, ia akan menjadi pusat persidangan terbesar di negeri itu, dengan keluasan lantai kasar 340,000 kaki persegi, dewan pameran bebas tiang seluas 76,000 kaki persegi dan mampu menampung sehingga 8,000 tetamu pada satu-satu masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM Corporation, Datuk Lee Chun Fai berkata, kerjasama tersebut akan merancakkan ekonomi negeri dan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor MICE serantau.
"The Light City mencerminkan strategi IJM dalam membina pembangunan bersepadu yang memenuhi keperluan pasaran.
"Kerjasama dengan KINTEX bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi PWCC, malah mampu menarik acara bertaraf antarabangsa," katanya seperti laporan The Edge.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Exco Kerajaan Negeri Wong Hon Wai, Datuk Bandar Goyang (Korea Selatan) Lee Dong-Hwan, serta wakil daripada IJM, Perennial Holdings, KINTEX dan Biro Konvensyen & Pameran Pulau Pinang (PCEB).
Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perennial Holdings, Pua Seck Guan pula menyifatkan PWCC sebagai destinasi strategik yang mampu menarik pelbagai acara perniagaan dan hiburan.
"Kerjasama dengan KINTEX membuktikan potensi PWCC sebagai lokasi pilihan untuk acara-acara ternama.
"Gabungan pameran, konsert dan persidangan berkualiti tinggi bersama kemudahan membeli-belah dan hotel di The Light City menjadikan ia tarikan utama baharu di rantau ini," jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KINTEX Malaysia, Dominic Oh berkata, mereka teruja untuk memperluas pengaruh KINTEX di Asia Tenggara dan membawa masuk acara bertaraf dunia ke Malaysia.
"Kerjasama ini bukan sahaja memperkasa industri MICE negara, malah menjadikan Pulau Pinang destinasi perniagaan dan pelancongan antarabangsa yang berprestij," ujarnya.
Antara acara penting yang akan diadakan di PWCC tahun ini adalah Persidangan Menteri Asia Pasifik Ke-7 mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar & Forum Bandar Pulau Pinang (Oktober), Malaysia International Tech Edu (Oktober), K-Brand Week & K-Beauty Expo Malaysia (November) dan Water Tech Asia 2025 (Disember).
Acara-acara berkenaan dijangka menarik lebih 30,000 delegasi pada tahun pertama operasi dan menjana impak ekonomi dianggarkan sekitar RM55.5 juta kepada negeri Pulau Pinang.
Sebagai pelengkap kepada PWCC, Galeri Seni Lin Xiang Xiong juga dijangka dibuka tahun ini di kawasan pembangunan The Light City. - DagangNews.com







