IGB REIT catat peningkatan pendapatan pada suku pertama, beri amaran ketidaktentuan ekonomi jejas perbelanjaan pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB REIT catat peningkatan pendapatan pada suku pertama, beri amaran ketidaktentuan ekonomi jejas perbelanjaan pengguna

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 24 April – IGB REIT dan IGB Commercial REIT mencatatkan peningkatan pendapatan bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, namun beri amaran kepada pelabur tentang cabaran yang akan dihadapi.

 

Kedua-dua REIT yang menguruskan pusat beli-belah dan bangunan pejabat itu berkata, ketidaktentuan ekonomi serta kemungkinan pemotongan subsidi bahan api boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna di pusat beli-belah dan memberi tekanan kepada penyewa.

 

"Manakala ruang pejabat berdepan lebihan penawaran dan permintaan yang lebih kepada bangunan baharu," katanya dalam satu kenyataan.

 

IGB REIT yang memfokuskan kepada sektor runcit, melaporkan peningkatan 7.1% dalam pendapatan hartanah bersih (NPI) kepada RM133.1 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY2025), berbanding RM124.2 juta pada tempoh sama tahun lalu, disokong oleh pendapatan sewaan lebih tinggi di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall.

 

Pendapatan bagi suku tersebut meningkat 5.4% kepada RM171.4 juta berbanding RM162.6 juta sebelum ini.

 

Pendapatan boleh agih bagi suku berkenaan berjumlah RM118.1 juta, merangkumi RM110.6 juta keuntungan, RM4 juta keuntungan nilai saksama bukan tunai ke atas hartanah pelaburan, dan RM7.2 juta yuran pengurusan dibayar dalam bentuk unit.

 

IGB REIT mengisytiharkan agihan seunit (DPU) sebanyak 3.19 sen bagi 1QFY25, meningkat berbanding 2.96 sen pada tempoh sama tahun lalu yang akan dibayar pada 29 Mei 2025. 

 

Ini mewakili hasil agihan tahunan sebanyak 5.75%, berdasarkan harga seunit RM2.25 setakat 31 Mac.

 

IGB Commercial REIT turut melaporkan peningkatan pendapatan bagi suku berakhir 31 Mac 2025, didorong oleh kadar penghunian yang meningkat sebanyak 8.7 mata peratusan kepada 89% serta kenaikan purata kadar sewa sebanyak 1.5% kepada RM6.42 bagi setiap kaki persegi.

 

Portfolio merangkumi Menara IGB, GTower, dan Menara Tan & Tan.

 

NPI meningkat 13.5% kepada RM38.9 juta berbanding RM34.23 juta setahun lalu, manakala pendapatan naik 11.4% kepada RM62.3 juta daripada RM56 juta.

 

Pendapatan boleh agih ialah RM26.3 juta, termasuk RM24 juta keuntungan dan RM2.2 juta pelarasan bukan tunai bagi 50% yuran pengurusan dalam bentuk unit.

 

IGB REIT mengumumkan DPU sebanyak 1.07 sen bagi 1QFY25, meningkat daripada 0.96 sen tahun lalu, dan akan dibayar pada 29 Mei 2025.- DagangNews.com