IGB lupus aset United Kingdom termasuk St Giles Hotel London bernilai RM1.2 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB lupus aset United Kingdom termasuk St Giles Hotel London bernilai RM1.2 bilion

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Jan – Syarikat sekutu IGB Berhad melupuskan aset di United Kingdom termasuk St Giles Hotel London, dengan nilai keseluruhan £220 juta (RM1.2 bilion).

 

Kumpulan itu berkata, 12 Bedford Avenue Ltd (Bedford) dan St Giles Hotel Limited (SGHL), yang masing-masing 49.47% dimiliki oleh IGB, memeterai dua perjanjian jual beli pada 9 Januari 2026.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, transaksi berkenaan diumumkan oleh lembaga pengarah IGB selepas waktu dagangan pada tarikh berkenaan.

 

Transaksi pertama melibatkan penjualan oleh Bedford ke atas semua saham terbitan dalam anak syarikat milik penuhnya, Ravencroft Investments Inc (RII), kepada Hiro Intermediate Holdings Ltd.

 

Transaksi kedua pula melibatkan penjualan perniagaan dan aset St Giles Hotel London oleh SGHL kepada Bedford Avenue Hotel Opco Ltd.

 

IGB berkata, harga jualan dipersetujui selepas rundingan adil antara pihak-pihak terlibat.

 

Penilaian terkini bagi St Giles Hotel London telah dijalankan pada 24 Julai 2024, dengan nilai dianggarkan pada £228.5 juta.

 

Hasil daripada pelupusan tersebut, bahagian keuntungan bersih IGB daripada syarikat sekutunya dianggarkan sekitar RM452.6 juta, sekali gus memberi rangsangan positif kepada kedudukan kewangan kumpulan.

 

IGB turut memaklumkan transaksi berkenaan telah disempurnakan pada 9 Jan 2026, dengan perjanjian dilaksanakan dan ditukar serta hasil jualan diterima sepenuhnya.

 

Selain Datuk Seri Robert Tan Chung Meng, yang merupakan pengarah entiti yang melupuskan aset berkenaan, dan Wah Seong Manufacturing Sdn Bhd, pemegang saham utama IGB dengan pegangan 45.91% dalam kedua-dua syarikat sekutu itu, tiada pengarah lain, pemegang saham utama atau individu berkaitan IGB mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam transaksi tersebut. - DagangNews.com