ICT Zone peroleh kontrak bernilai RM27.8 juta bagi pajakan perkakasan, perisian ICT | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ICT Zone peroleh kontrak bernilai RM27.8 juta bagi pajakan perkakasan, perisian ICT

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 Jan – ICT Zone Asia Bhd memperoleh pesanan pembelian bernilai RM27.8 juta bagi pajakan perkakasan dan perisian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

 

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian ICT dan pembiayaan teknologi itu berkata kontrak berkenaan dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, ICT Zone Ventures Bhd oleh Haynik Holding Sdn Bhd.

 

Menurut syarikat itu, pesanan tersebut merangkumi pembekalan komputer riba, pencetak, projektor, troli pengecas serta peranti periferal lain yang digabungkan bersama perkhidmatan ICT untuk dihantar kepada sebuah agensi kerajaan.

 

Tempoh pajakan bagi kontrak berkenaan adalah selama 60 bulan, dengan tarikh permulaan akan ditentukan kelak.

 

ICT Zone berkata pembelian perkakasan dan perisian ICT bagi tujuan pajakan tersebut akan dibiayai melalui gabungan pinjaman bank dan dana dalaman yang dijana oleh kumpulan.

 

Syarikat itu, yang berpindah dari Pasaran LEAP tahun lalu melaporkan keuntungan bersih RM4.41 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2025 (3QFY2026) atas hasil sebanyak RM41.2 juta, didorong terutamanya oleh segmen pembiayaan teknologi dan dagangan ICT.

 

Sebelum ini, ICT Zone berkata pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan buku pesanan belum dibilkan kepada RM500 juta dalam tempoh tiga tahun selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, disokong oleh aliran pendapatan berulang daripada kontrak pajakan jangka panjang. - DagangNews.com