KUALA LUMPUR 24 April - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang meluluskan tuntutan balas anak syarikat Iconic Worldwide Bhd, Iconic Medicare Sdn Bhd (IMED) sebanyak RM10.1 juta berhubung pertikaian dengan pembekal mesin sarung tangannya, Latex Form Sdn Bhd (LFSB).
Mahkamah juga menolak tuntutan RM15 juta daripada LFSB dan meluluskan sebahagian tuntutan balas IMED.
LFSB diarah membayar RM10.1 juta kepada IMED dalam tempoh 21 hari, dengan faedah tahunan 5%, dan kos guaman RM50,000.
Penyelesaian kes mahkamah itu amat penting bagi Kumpulan kerana LFSB telah menuntut lebih RM15 juta secara keseluruhan dan penolakan itu menghapuskan risiko material yang besar untuk kumpulan dan pemegang kepentingannya.
Pada Ogos 2023, LFSB menyaman Iconic Worldwide sebanyak RM15.04 juta berhubung pertikaian yang melibatkan mesin sarung tangan.
Tuntutan itu termasuk RM11.04 juta untuk kerja yang dilakukan, RM1.6 juta kerugian pembekal selepas penamatan kontrak, dan RM2.4 juta ganti rugi tercair dan pasti yang didakwa dibayar kepada IMED.
IMED memfailkan saman balas lebih RM25 juta pada Oktober 2023, mendakwa LFSB melanggar kontrak RM38.28 juta untuk membekal dan memasang enam mesin celup sarung tangan di kilang Batu Kawan.
IMED berkata, LFSB gagal menghantar empat mesin dan menghantar dua mesin lewat, dengan kecacatan yang tidak dapat diselesaikan walaupun permintaan berulang kali.
Sementara itu, pada 28 Februari 2025, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menolak tuntutan CeramTec Innovative Ceramic Engineering (M) Sdn Bhd (CICE) terhadap IMED sebanyak RM44,190
Mahkamah memerintahkan CICE membayar IMED sejumlah RM583,800 sebagai kos tambahan yang perlu dibayar oleh IMED bagi mendapatkan pembentuk seramik daripada pembekal lain.
Pengerusi Eksekutif Iconic Worldwide, Datuk Seri Tan Kean Tet berkata, pihaknya berbesar hati dengan kedua-dua keputusan itu. Keputusan mahkamah menolak tuntutan LFSB dan CICE dan mengekalkan sebahagian daripada tuntutan balas pihaknya adalah bukti jelas terhadap pendirian kumpulan.
Pihaknya komited untuk meningkatkan amalan pengurusan risiko bagi mengurangkan potensi isu undang-undang yang serupa pada masa hadapan.
"Kumpulan kini boleh mendedikasikan sepenuhnya sumbernya dan menumpukan pada mengukuhkan operasi perniagaan teras dan meneruskan strategi pertumbuhan masa depan," katanya. - DagangNews.com







