iCAUR Malaysia buka bilik pameran pertama dunia di Glenmarie, Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iCAUR Malaysia buka bilik pameran pertama dunia di Glenmarie, Shah Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos iCAUR Malaysia telah membuka bilik pameran pertamanya di dunia, iCAUR Glenmarie di Shah Alam. 


Bilik pameran itu dikendalikan oleh Absolute Motor Sdn Bhd.

 

Naib Presiden iCAUR Malaysia, Emily Lek berkata, ia adalah satu langkah penting sebelum pelancaran model pertama jenama itu, iCAUR 03 pada 9 September 2025.

 

“Dalam tempoh kurang empat bulan sejak diperkenalkan di Malaysian Autoshow 2025, iCAUR telah memberi impak di Malaysia, menyampaikan mesej ringkas tetapi bermakna, ‘Born to Play’.

 

“Bagi khidmat selepas jualan, pusat servis iCAUR Glenmarie mempunyai tiga ruang servis, satu ruang pengubahsuaian, bengkel khas dan kapasiti servis bulanan sehingga 300 kenderaan. 

 

“Pasukan seramai 30 kakitangan terlatih bersedia memberi perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

t

 

t

 

Bilik pameran seluas hampir 19,000 kaki persegi itu menampilkan ruang pameran lima kereta, tempat menunggu untuk pelanggan dengan Wi-Fi percuma, kopi dan pastri, kawasan penyerahan kenderaan, dua stesen pengecas EV serta iCAUR Arcade iaitu zon permainan untuk pelanggan dan pengunjung.

 

Model iCAUR 03 akan dilancarkan pada 9 September ini dengan harga dianggarkan antara RM145,000 hingga RM155,000. 

 

Pelanggan boleh membuat tempahan sebagai pemilik awal dengan bayaran RM1,000 yang boleh dikembalikan sepenuhnya.

 

t

 

iCAUR 03 menawarkan dua pilihan pacuan iaitu varian 2WD dilengkapi motor elektrik 135kW dengan tork 220Nm dan bateri 65.7kWh, memberikan jarak 426km (NEDC). 

 

Varian iWD pula menggunakan motor dwi 205kW dengan tork 385Nm dan bateri 69.8kWh, jarak 418km (NEDC).

 

iCAUR ialah jenama kenderaan elektrik global hasil kolaborasi antara Chery dan SmartMi Tech, direka untuk pasaran antarabangsa. 

 

Ia membuat penampilan global di Pameran Automotif Antarabangsa Shanghai 2025 dan merancang membuka lebih 2,000 pusat jualan dan servis di seluruh dunia menjelang 2028.- DagangNews.com