KUALA LUMPUR 13 Ogos – iCAUR Malaysia mengukuhkan keupayaan rantaian bekalan dan sokongan lepas jualannya dengan pembukaan rasmi hab komponen serba baharu di Taman Perindustrian Hicom, Shah Alam.
Berkeluasan 88,000 kaki persegi, gudang itu diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama OMODA | JAECOO Malaysia, bagi menyokong rangkaian pengedar jenama SUV elektrik sepenuhnya yang semakin berkembang di negara ini.
Naib Presiden iCAUR Malaysia, Emily Lek berkata, gudang berpusat itu memainkan peranan penting dalam menyokong pengedaran syarikat yang semakin luas.
“Falsafah ‘Born to Play’ bermakna iCAUR sentiasa bersedia sejak mula lagi, dengan inventori alat ganti dan komponen yang disokong oleh rantaian bekalan global yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain menyokong operasi tempatan, hab komponen iCAUR itu turut bersedia bagi perkhidmatan serantau, selaras dengan usaha Chery International menjadikan Malaysia sebagai hab utama model pemanduan sebelah kanan di ASEAN.
Tambahnya, ia bertepatan dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, yang menyokong pembangunan kenderaan generasi akan datang serta inovasi dalam ekosistem automotif.
Gudang itu mula beroperasi pada Mac 2025 sebagai persediaan menjelang pelancaran iCAUR 03 yang dijadualkan pada suku ketiga tahun ini.
Ia menempatkan lebih 10,000 alat ganti dan komponen, memastikan tahap kesediaan maksimum untuk menyokong operasi lepas jualan seluruh rangkaian dengan sekurang-kurangnya 16 rakan pengedar ketika ini dan jumlah itu dijangka bertambah pada 2026.
Tambahnya, bagi memberi peluang kepada orang ramai mendekati model baharu itu, iCAUR Malaysia menganjurkan acara iXPERIENCE di Plaza Arkadia, Desa ParkCity dari 21 hingga 24 Ogos 2025.
“Acara ini menampilkan pandu uji iCAUR 03 versi pacuan dua roda (2WD) dan varian dwimotor pacuan roda pintar (iWD),” katanya.
Model 2WD dipacu oleh motor 135kW dan bateri 65.7kWh, menawarkan jarak perjalanan sehingga 426km, manakala varian iWD mempunyai kuasa 279PS dengan jarak 418km.
Pelanggan boleh membuat tempahan dengan bayaran RM1,000 yang dikembalikan sepenuhnya, sementara 30 pelanggan pertama akan menerima model skala iCAUR 03 edisi terhad bernilai RM1,388.
Acara ini turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif termasuk cabaran “Teka Harga” dan pameran iCAUR ‘Toy Box’.
iCAUR ialah jenama kenderaan elektrik global hasil kerjasama antara Chery dan SmartMi Tech, yang menekankan reka bentuk berani, teknologi pintar dan prestasi mantap.
Jenama ini merancang untuk mengembangkan operasi ke 100 negara dan membuka lebih 2,000 pusat jualan serta perkhidmatan menjelang 2028, sejajar dengan sasaran penggunaan EV 80% menjelang 2050 di Malaysia. - DagangNews.com








