KUALA LUMPUR 9 Dis – I-Bhd menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memacu penyelidikan dan inovasi kecerdasan buatan (AI) serta membangunkan bakat tempatan dalam bidang berkenaan.
Menurut I-Bhd, pemaju i-City, inisiatif penyelidikan bersama itu akan diintegrasikan merentasi AI World Experience Centre dan infrastruktur bandar pintar i-City, merangkumi pembangunan robotik humanoid, mobiliti berasaskan AI, integrasi sistem pintar dan solusi kesihatan berasaskan AI.
Inovasi berkenaan akan dilaksanakan serta dikomersialkan secara berperingkat di seluruh i-City melalui model Robotics-as-a-Service (RaaS), sistem penyelenggaraan serta aplikasi i-City SuperApp, menjadikan i-City sebagai tapak ujian hidup pertama Malaysia bagi pelaksanaan dan penjanaan hasil AI bandar dalam dunia sebenar.
Pengerusi I-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong berkata pihaknya menyasarkan kerjasama ini sebagai platform merapatkan jurang antara teori dan aplikasi industri.
“Melalui kerjasama ini, syarikat mahu merapatkan jurang antara teori dan amali. Pelajar UiTM akan mendapat akses langsung kepada sistem AI dan robotik dalam persekitaran bandar pintar yang beroperasi sepenuhnya. Ini tentang memperkasakan generasi masa depan Malaysia untuk memimpin masa depan, bukan sekadar mempelajarinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Datuk Shahrin Sahib berkata kolaborasi tersebut memberi peluang luar biasa kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan teknologi yang bakal membentuk bandar masa hadapan.
“Ini bukan sekadar program latihan industri, tetapi satu bentuk penghayatan mendalam dalam model bandar berasaskan AI yang sudah pun beroperasi,” katanya.
Kerjasama ini dijangka mengukuhkan peranan i-City sebagai hab teknologi pintar bandar serta memperluaskan ekosistem penyelidikan dan pembangunan AI negara dengan penglibatan aktif institusi pendidikan tinggi awam. - DagangNews.com








