KUALA LUMPUR 18 Dis – Malaysia melangkah setapak ke hadapan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) dengan pembukaan Pusat Pengalaman AI World, pengaktifan fizikal awam pertama bagi presint bandar pintar berasaskan AI sulung negara yang dibangunkan oleh I-Berhad di i-City, Shah Alam, Selangor.
Pusat berkonsepkan pameran imersif berskala besar itu menampilkan aplikasi AI dan robotik humanoid, dibangunkan dengan kerjasama Agibot, antara syarikat robotik humanoid terkemuka dunia, dan akan mempamerkan sebanyak 100 robot.
Menurut I-Berhad, pusat pengalaman tersebut memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat secara langsung bagaimana AI akan diintegrasikan dalam persekitaran kediaman, komersial, kesejahteraan dan gaya hidup masa hadapan di i-City, yang diposisikan sebagai bandar digital No. 1 Malaysia.
Pengasas dan Pengerusi I-Berhad Tan Sri Lim Kim Hong berkata pembukaan pusat berkenaan menandakan pencapaian penting pertama dalam pembangunan AI World, yang merupakan komponen teras kepada baki nilai pembangunan kasar (GDV) RM5 bilion kumpulan itu di i-City.
“Pembukaan Pusat Pengalaman AI World menandakan satu pencapaian utama bagi kumpulan dan i-City. Ia mewakili realisasi pertama AI World serta menunjukkan bagaimana kecerdasan buatan dan robotik boleh diintegrasikan secara bermakna dalam persekitaran bandar bagi meningkatkan fungsi, kecekapan dan pengalaman gaya hidup,” katanya.

Menurut beliau, menjelang pelancaran rasmi AI World pada 13 Januari 2026, pusat pengalaman itu akan menjadi asas kepada visi lebih luas syarikat untuk mentransformasikan i-City sebagai ekosistem bandar berteknologi tinggi.
“Disokong oleh baki GDV yang kukuh dan pangkalan hartanah pelaburan yang semakin berkembang, kami percaya AI World akan meningkatkan nilai aset, mengukuhkan pendapatan berulang dan meletakkan I-Berhad di barisan hadapan pembangunan bandar pintar di Malaysia,” katanya.
Selain menjadi tarikan awam, pusat pengalaman itu turut berfungsi sebagai platform pendidikan imersif, khususnya untuk pelajar dan golongan muda, bagi meneroka AI melalui pengalaman praktikal.
Pameran interaktif dan demonstrasi secara langsung mencerminkan strategi lebih luas I-Berhad dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam kehidupan bandar harian, termasuk pengurusan fasiliti pintar, perkhidmatan hospitaliti, sokongan kesejahteraan dan persekitaran pintar.
Pengarah i-City Datuk Eu Hong Chew berkata pusat tersebut menekankan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi memupuk rasa ingin tahu, pemikiran kritikal serta kefahaman tentang bagaimana AI dan robotik akan membentuk kerjaya dan industri masa hadapan.
“AI boleh kelihatan jauh bagi kebanyakan orang, tetapi robotik mengubah persepsi itu. Apabila orang dapat melihat kecerdasan bergerak dan berinteraksi secara langsung, AI menjadi lebih mudah difahami, kurang menakutkan dan jauh lebih menarik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, I-Berhad turut memajukan perancangan untuk melaksanakan Robotics-as-a-Service (RaaS) merentasi portfolio hartanah pelaburannya bernilai RM1 bilion, dengan mengintegrasikan automasi berasaskan AI dalam pengurusan hartanah, hospitaliti, gaya hidup dan operasi aset.
Inisiatif itu dijangka meningkatkan kecekapan operasi, memperkayakan pengalaman pengguna serta menjana aliran pendapatan berulang yang berskala di luar kitaran hartanah konvensional, sekali gus mengukuhkan kedudukan i-City sebagai bandar digital terunggul Malaysia. - DagangNews.com








