KUALA LUMPUR 28 Julai – Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) bersama rakan strategiknya, MCL Bhd, melancarkan penyelesaian teknologi Huawei eKit yang direka khusus untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, selaras dengan usaha mempercepatkan agenda transformasi digital dalam sektor itu.
Huawei eKit adalah set lengkap penyelesaian rangkaian dan digital yang direka khas untuk memenuhi keperluan pelbagai persekitaran perniagaan seperti pejabat, hotel, ruang komersial dan peruncitan.
Huawei berkata, produk tersebut menawarkan penyelesaian menyeluruh dalam industri bagi meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti tempat kerja dan kelancaran penembusan pasaran.
“Satu majlis pelancaran rasmi telah diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini menghimpunkan lebih 130 rakan saluran utama dan menandakan satu langkah penting dalam pengukuhan ekosistem saluran komersial Huawei.
“Antara yang diperkenalkan termasuk demonstrasi langsung peralatan seperti suis, penghala, titik capaian (access point), dan pintu gerbang keselamatan, memberi pendedahan teknikal dan nilai komersial kepada para pengedar dan rakan kongsi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai Rakan Pengedar Emas (Gold Distribution Partner) Huawei yang baharu, MCL Bhd akan menerajui agihan Huawei eKit di pasaran tempatan dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran luas dan pemahaman mendalam terhadap landskap pasaran.
MCL juga akan menyediakan latihan, sokongan saluran dan sistem perolehan yang dipermudah untuk membantu pengedar tempatan memasarkan produk secara lebih efisien.
Huawei eKit tampil dengan reka bentuk modular serta keupayaan berasaskan senario sebenar yang membolehkan penyesuaian penyelesaian mengikut keperluan operasi PKS.
Huawei berkata, ia merangkumi lima siri produk yang menyokong semua persekitaran daripada peranti pintar seperti Huawei IdeaHub, rangkaian konvergen berwayar dan tanpa wayar, hinggalah kepada platform storan data dan IT.
“Lebih penting, Huawei eKit direka dengan pendekatan mesra pengguna kerana ia mudah dibeli, dipasang, diguna dan diselenggara.
“Ciri-ciri ini menjadikannya ideal untuk PKS yang beroperasi dengan pasukan kecil, kerana ia mempercepat pelaksanaan, mudah dikendalikan dan memperkukuh strategi penembusan pasaran.
“Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada strategi lebih luas Huawei Malaysia untuk membina jaringan rakan niaga yang tangkas dan inklusif,” katanya.
Dengan menyediakan penyelesaian digital berskala dan bersedia masa depan, Huawei kekal komited memperkasakan komuniti PKS Malaysia dalam era ekonomi digital. - DagangNews.com








