KUALA LUMPUR 13 Mei - Huawei Cloud dan pembekal rumusan perkhidmatan kewangan, Silverlake menjalin kerjasama untuk mempermudah operasi perbankan, meningkatkan perlindungan siber, serta melonjakkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan institusi kewangan.
Silverlake akan berperanan sebagai Rakan Kongsi Perisian Enterprise dengan menawarkan rumusan berteraskan teknologi Huawei.
Ketua Pegawai Eksekutif Silverlake, Cassandra Goh berkata, kerjasama dengan Huawei Cloud adalah langkah penting untuk membangunkan sistem perbankan generasi baharu yang lebih kuat dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Gabungan kepakaran kami dalam teknologi kewangan, AI CgW dan awan Huawei akan membantu institusi kewangan membina semula sistem, menambah baik proses dan membentuk masa depan perbankan," katanya dalam satu kenyataan.
Perkongsian strategik berkenaan diumumkan pada Huawei Cloud APAC Partner Summit 2025, dengan fokus membangunkan platform perbankan teras bersepadu menggabungkan AI CgW dan kemudahan awan Huawei bersama kepakaran kewangan Silverlake.
Ia dijangka memberi impak signifikan dalam memperkasa inovasi digital, khususnya di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com








