KUALA LUMPUR 23 Jun - HSS Engineers Bhd memperoleh kontrak bernilai RM10.05 juta bagi projek pembangunan terminal kontena di Tuna Tekra, India.
HSS Engineers berkata, kontrak tersebut diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, HSS Engineering Sdn Bhd (HSSE).
"HSSE akan menyediakan khidmat nasihat reka bentuk kejuruteraan dan pemodelan maklumat bangunan (BIM) untuk projek ini.
"Kontrak ini dianugerahkan oleh Ocean Lifespaces India Pvt Ltd bagi Pakej 2 projek reka bentuk dan bina Hindustan Gateway Container Terminal Kandla Private Ltd," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Jelasnya, kerja perundingan sudah bermula pada 16 Jun lalu dan dijangka siap dalam tempoh 28 bulan.
HSS Engineers memaklumkan, kerja yang terlibat termasuk reka bentuk awal dan terperinci, perkhidmatan tambahan BIM, serta penyerahan dokumen selepas pembinaan siap.
Katanya, bayaran akan dibuat berdasarkan kemajuan projek, di mana 30 peratus sudah dibayar dan selebihnya akan dibayar secara berperingkat.
HSS Engineers berkata, projek tersebut dijalankan bersama syarikat rakan niaga, HSS Integrated Sdn Bhd, mengikut perjanjian kerjasama yang dipersetujui.
Menurut HSS Engineers, projek itu adalah satu pencapaian penting dan selaras dengan rancangan syarikat untuk berkembang ke pasaran India serta mengukuhkan kepakaran dalam bidang pengangkutan.
Syarikat menjangka projek berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan keuntungan HSS Engineers bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027.
Projek tersebut akan dibiayai menggunakan gabungan dana syarikat sendiri dan pinjaman luar. - DagangNews.com








