HSBC sediakan pembiayaan untuk Carsome perluas operasi kereta terpakai di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSBC sediakan pembiayaan untuk Carsome perluas operasi kereta terpakai di Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai - HSBC Malaysia telah menyediakan kemudahan Pembiayaan Berasaskan Aset (ABL) sebanyak AS$15 juta kepada Carsome Certified Sdn Bhd, anak syarikat dalam Kumpulan Carsome.

 

Pembiayaan aset sulung HSBC itu bertujuan menyokong pembelian kenderaan terpakai yang telah dibaik pulih untuk dijual kepada pelanggan runcit. 

 

Ketika ini, Carsome membaik pulih sehingga 2,000 buah kereta setiap bulan di pusat baik pulih kenderaan terbesar dan paling moden di Asia Tenggara yang terletak di Klang.

 

Pembiayaan daripada HSBC itu menjadi pemacu utama dalam menyokong pertumbuhan operasi Carsome  di Malaysia. 

 

ABL yang diberi HSBC itu bersandarkan kepada aset yang menjana aliran tunai, di mana pengeluaran dana akan dipantau berdasarkan prestasi kewangan serta pemantauan langsung terhadap kenderaan dalam inventori.

 

Ketua Korporat Global dan Pasaran Pertengahan Antarabangsa HSBC Malaysia, Christina Cheah berkata, berdasarkan laporan industri,pasaran kereta terpakai di Asia Tenggara dijangka mencecah AS$96.12 bilion menjelang tahun 2030 dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.65% sepanjang tempoh tersebut.

 

“Kami turut melihat pasaran kereta terpakai di rantau ini sebagai satu peluang besar kerana ia menjadikan pemilikan kenderaan lebih mudah diakses terutama bagi rakyat Malaysia berpendapatan rendah dan sederhana atau individu yang mahu membeli kenderaan pertama mereka.

 

“Pemilikan kereta mampu meningkatkan mobiliti pekerjaan dan produktiviti di samping mengurangkan kadar kenderaan yang dilupuskan atau ditinggalkan, sekali gus mengurangkan sisa automotif. 

 

“HSBC sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyokong dan memudahkan pertumbuhan perniagaan berasaskan teknologi seperti Carsome Certified menerusi penyediaan penyelesaian kewangan kami yang menyokong ekonomi baharu.

 

“Rumusan pembiayaan yang kami cipta untuk Carsome Certified memberikan mereka dana yang fleksibel dan meningkatkan aliran tunai untuk pengembangan, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan kereta terpakai yang mampu milik kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, industi kereta terpakai hari ini merangkumi pelbagai aspek seperti jual beli, media automotif, baik pulih dan pembiayaan. 

 

“Kami melihat potensi besar di setiap peringkat perjalanan pemilikan kenderaan ini. Sebagai platform e-dagang automotif bersepadu terbesar di Asia Tenggara, kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan HSBC Malaysia dalam memperkasa pertumbuhan ini.

 

“Permintaan terhadap kerata mampu milik semakin meningkat dan pembiayaan ini akan membolehkan kami memperluas dan mengembangkan perniagaan sekaligus memudahkan pemilikan kenderaan bagi rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com