HSBC lancar Premier serba baharu untuk pelanggan mewah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HSBC lancar Premier serba baharu untuk pelanggan mewah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Ogos – HSBC Malaysia melancarkan HSBC Premier serba baharu bagi pelanggan mewah dan berpendapatan tinggi dengan pendekatan holistik dalam pengurusan kekayaan, kesihatan, gaya hidup dan perbankan antarabangsa.

 

Dibangunkan berasaskan empat tonggak utama iaitu kekayaan, kesihatan, kembara dan antarabangsa, perkhidmatan premier baharu itu menawarkan pelbagai rumusan pelaburan, insurans, perlindungan warisan, serta kemudahan digital.

 

Ini membolehkan pelanggan memulakan, memantau dan mengurus pelaburan dengan lancar sepanjang masa, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

 

HSBC turut menyediakan akses kepada pengurus perhubungan dan pakar kekayaan untuk panduan strategi pelaburan.

 

Ketua Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier Asia HSBC, Kai Zhang berkata, seiring dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia, peluang untuk membina dan mengekalkan kekayaan turut meningkat.

 

“Malah, kami menganggarkan peratusan golongan dewasa di Malaysia yang memiliki sekurang-kurangnya AS$250,000 akan berganda dalam dekad ini.

 

“Namun, ia bukan sekadar mengenai pertumbuhan semata-mata, sebaliknya berkaitan dengan perubahan cara kekayaan diuruskan, dan kami melihat pelanggan kini mengurus kekayaan mereka dengan lebih berstrategi,” katanya dalam kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Negara Kekayaan Antarabangsa dan Perbankan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip pula berkata, Malaysia sedang menyaksikan pertumbuhan pesat dalam segmen berpendapatan tinggi dan seiring dengan pertumbuhan itu, keperluan mereka juga berkembang.

 

“Pelanggan mewah kini mencari rumusan holistik yang membantu mereka mempercepatkan pertumbuhan kekayaan, namun pada masa sama meletakkan kesihatan dan kesejahteraan sebagai keutamaan.

 

“Ini membolehkan mereka membina, melindungi, menikmati serta memelihara kekayaan untuk dinikmati oleh generasi seterusnya,” katanya.

 

Dalam aspek kesihatan, pelanggan premier layak mendapat diskaun sehingga 30% untuk pakej saringan di Sunway Healthcare Group, manakala pelanggan Premier Elite menerima pakej Elite Signature secara percuma, manakala dalam aspek kesejahteraan, pelanggan Premier Elite menikmati penginapan percuma di Sunway Sanctuary.

 

HSBC juga mempertingkatkan manfaat kad perjalanan untuk pelanggan Premier dan Premier Elite, termasuk pengumpulan mata ganjaran lebih cepat, akses lounge percuma, perlindungan insurans perjalanan sehingga AS$500,000 dan perkhidmatan data roaming global.

 

Dalam perbankan antarabangsa, pelanggan Premier kini boleh membuka akaun di luar negara sebelum berlepas dari Malaysia, membuat pemindahan wang global ke lebih 50 negara tanpa yuran, menikmati kadar pertukaran istimewa, serta menguruskan 11 mata wang utama dalam satu akaun global.

 

Pelancaran HSBC Premier yang dipertingkatkan ini turut menawarkan pulangan 4.28% setahun bagi deposit tetap enam bulan, manakala pelaburan dan insurans tertentu memberi pulangan sehingga 10.88% setahun.

 

HSBC Malaysia pertama kali memperkenalkan perkhidmatan Premier 25 tahun lalu dan terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran mewah melalui pelancaran Premier Elite pada 2024, Wealth Centre di Tun Razak Exchange, serta HSBC Wealth Academy.- DagangNews.com