HRD Corp lancar Skim Graduan MADANI perkukuh pembangunan kemahiran, tingkatkan produktiviti tenaga kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp lancar Skim Graduan MADANI perkukuh pembangunan kemahiran, tingkatkan produktiviti tenaga kerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Human Resource Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melancarkan Skim Graduan MADANI (SGM), inisiatif yang bertujuan memperkukuh pembangunan kemahiran graduan selain menyokong majikan dalam meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

 

Skim itu membolehkan majikan berdaftar dengan HRD Corp menyalurkan sebahagian caruman levi ke dalam program latihan berstruktur dan pendedahan industri, sekali gus membekalkan graduan dengan kemahiran praktikal serta memperkukuh aliran bakat negara sebagai sebahagian daripada usaha nasional membina tenaga kerja masa hadapan.

 

Inisiatif itu mencerminkan tekad kerajaan membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia menghadapi masa depan yang juga selari dengan prinsip 3K KESUMA iaitu Kemahiran Pekerja, Produktiviti Pekerja dan Kebajikan Pekerja, di samping mengukuhkan agenda nasional dalam mewujudkan tenaga kerja Malaysia yang berdaya tahan dan berdaya saing.

 

Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan menegaskan, skim itu memperkukuh produktiviti dan daya saing tenaga kerja melalui penyelarasan pembangunan graduan dengan keperluan industri, di samping menyokong objektif jangka panjang modal insan negara.

 

“SGM mampu memberi manfaat kepada graduan dan majikan. Graduan mendapat pengalaman praktikal dan latihan industri, manakala majikan dapat membangunkan saluran bakat yang mampan. 

 

hrd
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan

 

"Program ini bertujuan melahirkan tenaga kerja berdaya tahan, produktif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Bagi melayakkan majikan berdaftar dengan HRD Corp membuat tuntutan di bawah skim ini, majikan perlu memastikan setiap peserta melengkapkan penyertaan selama tempoh 12 bulan.

 

Ciri-Ciri Utama SGM:

  • Kelayakan: Graduan Malaysia yang telah menamatkan semua pengajian tinggi, termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 ke atas dan sedang mencari pengalaman latihan kerja berstruktur pertama.
  • Keperluan Program: Peserta mesti menamatkan keseluruhan program pembangunan kemahiran selama 12 bulan.
  • Bantuan Kewangan: Majikan berdaftar boleh menuntut sehingga 50% daripada baki levi bagi tahun permohonan untuk program latihan yang dilaksanakan mulai 1 Januari 2025.

 

Garis Masa Pelaksanaan:

  • Permohonan geran di bawah SGM oleh majikan berdaftar dengan HRD Corp boleh dikemukakan mulai 1 Januari 2026.
  • Kelayakan program terpakai bagi peserta yang memulakan pengalaman latihan kerja berstruktur pertama mereka mulai 1 Januari 2025.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Graduan MADANI, sila layari www.hrdcorp.gov.my. - DagangNews.com