HRD Corp lancar dokumen Rangka Kerja Kemahiran Industri Semikonduktor, pacu Malaysia jadi hab bakat utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp lancar dokumen Rangka Kerja Kemahiran Industri Semikonduktor, pacu Malaysia jadi hab bakat utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) melancarkan dokumen Rangka Kerja Kemahiran Industri (IndSF) yang pertama seumpamanya bagi industri semikonduktor.

 

Dokumen IndSF itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai hab bakat utama dalam sektor yang berimpak tinggi ini dengan menyelaraskan pembangunan kemahiran mengikut keperluan industri semasa serta aspirasi negara di bawah Strategi Semikonduktor Negara (NSS).

 

Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr Rony Ambrose Gobilee berkata, pelancaran dokumen IndSF bagi Industri Semikonduktor itu mencerminkan komitmen mereka dalam menyokong NSS, terutamanya dalam memperkukuh tenaga kerja kejuruteraan dan teknikal Malaysia.

 

“Pelancaran dokumen IndSF bukan sekadar penerbitan dokumen biasa, tetapi ia menggambarkan komitmen tidak berbelah bahagi HRD Corp dalam menyokong NSS, khususnya dalam memperkukuh tenaga kerja kejuruteraan dan teknikal negara.

 

“Dalam usaha negara memperhebat usaha untuk menjadi hab utama dalam rantaian nilai global semikonduktor, kami menyedari bahawa bakat merupakan pemacu utama. 

 

indsf

 

"HRD Corp secara proaktif membentuk kesiapsiagaan tenaga kerja dengan memastikan pelaburan latihan berpandukan keperluan industri sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dokumen itu turut memberi penekanan tinggi terhadap penglibatan pihak berkepentingan industri bagi memastikan rangka kerja ini dibangunkan berdasarkan keperluan dunia sebenar. 

 

Pembangunan dokumen itu dengan kerjasama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) merupakan contoh terbaik kerjasama awam-swasta dapat merangka strategi bakat yang disasarkan dan bersedia untuk masa depan.

 

HRD Corp menggalakkan semua penyedia latihan untuk menjadikan dokumen IndSF itu sebagai rujukan utama dalam memperkukuh serta dalam menyesuaikan program yang ditawarkan agar selari dengan keperluan sektor itu. 

 

Begitu juga, jurutera dan profesional teknikal sedia ada mahupun yang bakal menyertai industri digalakkan untuk menggunakan rangka kerja ini sebagai panduan dalam merancang kerjaya dan perjalanan meningkatkan kemahiran mereka.

 

Sementara itu, Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, amat berbangga dapat bekerjasama dengan HRD Corp dalam membangunkan dokumen IndSF itu.

 

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan HRD Corp dalam membangunkan doukumen IndSF ini. Rangka kerja ini menghubungkan keperluan industri dengan pembangunan bakat dan memastikan tenaga kerja Malaysia bersedia memenuhi tuntutan teknologi dalam ekosistem semikonduktor.

 

“Ia merupakan komponen penting dalam merealisasikan NSS dan meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam rantaian nilai global semikonduktor,” katanya.

 

Rangka kerja IndSF itu memberi tumpuan kepada dua bidang utama iaitu teknikal dan kejuruteraan, yang memetakan perkembangan kerjaya daripada peringkat permulaan sehingga kepada sembilan domain kejuruteraan kritikal.

 

HRD Corp menjemput semua majikan semikonduktor, penyedia latihan, institusi pendidikan serta profesional untuk memuat turun dokumen IndSF untuk Industri Semikonduktor dan mula membangunkan bakat yang bersedia untuk masa depan mulai hari ini. Dokumen ini boleh dimuat turun di https://hrdcorp.gov.my/indsf/semiconductor- DagangNews.com