HRD Corp bawa kepakaran ke Timor-Leste bangunkan Indeks Latihan Nasional | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp bawa kepakaran ke Timor-Leste bangunkan Indeks Latihan Nasional

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Okt – Human Resource Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National Institute for Workforce Development (INDMO) Timor-Leste bagi membangunkan Indeks Latihan Nasional (NTI) pertama negara tersebut.

 

NTI merupakan mekanisme komprehensif bagi perancangan tenaga kerja berasaskan bukti dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

 

Kerjasama itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Minggu Kemahiran Antarabangsa Timor-Leste ke-2 di Pusat Konvensyen Dili dari 15 hingga 19 September 2025 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Timor-Leste, Francisco Kalbuadi Lay.

 

NTI yang dipelopori HRD Corp di Malaysia merupakan satu mekanisme komprehensif yang mengukur aktiviti latihan nasional, mengenal pasti jurang kemahiran serta menyediakan syor dasar yang boleh dilaksanakan bagi memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja. 

 

HRD Corp dalam satu kenyataan berkata, penyesuaiannya untuk Timor-Leste menandakan detik bersejarah dalam pemindahan ilmu serantau sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi kerjasama ASEAN pada masa hadapan.

 

t
 Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee

 

Ketika berucap pada majlis tersebut, Ketua Pegawai Strategi HRD Corp, Dr. Rony Ambrose Gobilee menekankan pengalaman Malaysia dalam membangunkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang inklusif dan mampan, sambil menegaskan peranan penting inovasi, data dan pembelajaran sepanjang hayat.

 

“Perjalanan Malaysia telah membuktikan pembangunan kemahiran inklusif adalah asas kepada pertumbuhan negara. 

 

“Melalui perkongsian kepakaran bersama Timor-Leste, kita bukan sahaja dapat menguatkan hubungan dua hala malah turut menguatkuasakan visi bersama ASEAN terhadap tenaga kerja masa hadapan,” katanya.

 

Menerusi MoU tersebut, HRD Corp dan INDMO akan mewujudkan penjenamaan bersama sebagai rakan strategik jangka panjang dalam transformasi Kemahiran dan memudah cara kerjasama penyelidikan.

 

Selain itu, kerjasama juga akan meneroka pelaksanaan sistem levi latihan serta bertukar program latihan, kandungan pendidikan dan kepakaran profesional melalui sebuah pasaran latihan bersama.

 

t

 

t

 

Kerjasama ini turut menyokong Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 serta meletakkan Timor-Leste pada kedudukan kukuh menjelang penganjuran Perhimpunan Agung Dunia Kemahiran Asia ke-10 pada tahun 2026.

 

Beliau berkata, Timor-Leste sedang mengorak langkah berani dalam transformasi tenaga kerja. 

 

“Malaysia, melalui HRD Corp, berbangga untuk menyokong perjalanan ini, membantu membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing, inklusif dan berhubung di peringkat global yang bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Timor-Leste tetapi juga rantau ASEAN dan dunia,” katanya.

 

Kerjasama ini yang memanfaatkan kepakaran serta pengalaman Malaysia dalam pembangunan modal insan merupakan satu langkah penting dalam membina tenaga kerja Timor-Leste yang berdaya saing, inklusif dan bersedia untuk masa depan. 

 

Selaras dengan AYOS 2025, kerjasama ini merapatkan bakat serantau serta menetapkan penanda aras baharu dalam transformasi kemahiran, sekali gus memperkukuh visi bersama ASEAN untuk melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, mudah alih serta berhubung di peringkat global. - DagangNews.com