HRD Corp bantu penyedia latihan sediakan kursus berkaitan AI selari keperluan kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HRD Corp bantu penyedia latihan sediakan kursus berkaitan AI selari keperluan kerajaan

Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Okt - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan membantu penyedia latihan menyediakan kursus kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) selari dengan keperluan kerajaan mengikut sektor.

 

Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, pihaknya akan memberi bantuan kepada penyedia latihan supaya menyediakan latihan yang bersesuaian dengan majikan serta pekerja agar ia memenuhi keperluan semasa.

 

Beliau berkata, AI kini sedang dalam fasa evolusi dan tidak dapat dipastikan sejauh mana ia akan terus berkembang.

 

"Ketika ini memang sukar untuk penyedia latihan menyediakan kursus yang tepat tetapi kami akan membantu mereka dari segi hala tuju agar ia selari dengan keperluan kerajaan.

 

"Kami juga mahu memastikan majikan-majikan yang menyumbang kepada caruman levi untuk menghantar pekerja-pekerja mereka untuk dilatih agar mereka dan membantu mencapai objektif kerajaan," katanya kepada DagangNews ketika ditemui semasa program National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2025 di MITEC.

 

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid. 

 

Syed Alwi berkata, pekerja juga tidak boleh hanya berharap kepada majikan sahaja untuk menghantar mereka untuk menyertai sebarang kursus, sebaliknya menjadi lebih proaktif dalam menentukan apa jenis latihan yang mereka perlukan untuk kekal berdaya saing.

 

Katanya, pihaknya ada menyediakan program latihan percuma dan berbayar dengan individu atau pekerja hanya perlu memilih sendri latihan yang diperlukan.

 

"Ini antara cara kami membantu menaik taraf mutu latihan di negara kita dengan melibatkan penyedia latihan, majikan dan pekerja bersama-sama polisi yang ada di dalam industri dalam membantu mencapai sasaran kerajaan.

 

"Jadi, peranan kami adalah lebih luas berbanding hanya menguruskan levi yang dikutip," katanya. - DagangNews.com