KUALA LUMPUR 25 Ogos – Hospital Pakar Johor (JSH), sebahagian daripada rangkaian KPJ Healthcare Berhad, menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan Sistem Visualisasi Robotik ZEISS KINEVO 900 S untuk pembedahan saraf.
Sistem terkini itu digunakan dalam tiga bidang khusus di hospital tersebut iaitu pembedahan saraf, pembedahan tulang belakang dan gabungan pembedahan mikro endoskopik.
Kemajuan teknologi itu memperkukuhkan lagi subkepakaran dan menawarkan akses kepada pilihan rawatan susulan yang lebih meluas kepada pesakit.
Baru-baru ini, Pakar Bedah Saraf, Dr Sharon Casilda Theophilus dan pasukannya telah menjalankan prosedur invasif minimum bagi membuang tumor di sebelah kiri tengkorak, menggabungkannya dengan platform navigasi pembedahan untuk visualisasi dan pemanduan alat yang lebih tepat.
Presiden & Pengarah Urusan KPJ Healthcare , Chin Keat Chyuan berkata, sistem itu turut menyediakan paparan imej 4K tiga dimensi secara masa nyata, memudahkan kolaborasi antara pakar bedah dan pasukan, serta berperanan penting dalam prosedur otak yang rumit, termasuk pembaikan aneurisme, tumor pituitari dan pembedahan pangkal tengkorak.
“Selain itu, teknologi ini membolehkan penyasaran tepat untuk biopsi dan rangsangan otak dalam, membantu penempatan skru tulang belakang, pembetulan kecacatan, serta digunakan dalam pembedahan ENT dan sinus.
“Fungsi bantuan robotik juga mengurangkan gangguan aliran kerja, meminimumkan pelarasan manual dan membolehkan pakar bedah mengekalkan fokus sepanjang prosedur yang kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, penggunaan sistem itu di Hospital Pakar Johor membuktikan komitmen KPJ Healthcare dalam memperkasakan keupayaan pembedahan, membangunkan generasi pakar akan datang, serta memacu transformasi syarikat.
“KPJ Health System melalui penjagaan (We Heal), pendidikan (We Teach) dan penyelidikan (We Discover) akan terus memastikan pesakit menerima rawatan berkualiti dan berteknologi tinggi,” katanya.

Sementara itu, Dr Sharon berkata, pembedahan yang dijalankan menggunakan sistem itu memberi pandangan yang lebih jelas dan kawalan lebih baik dalam pembedahan saraf dan tulang belakang yang kompleks.
“Ia menjadi platform penting untuk membimbing dan melatih pakar bedah masa depan,” katanya.- DagangNews.com








