Hospital KPJ Kuching berjaya sempurnakan prosedur ablasi jantung pertama di Borneo guna teknologi terkini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hospital KPJ Kuching berjaya sempurnakan prosedur ablasi jantung pertama di Borneo guna teknologi terkini

Dr Koh Keng Tat (lima dari kiri) bersama pasukan pembedahannya yang telah berjaya melaksanakan prosedur ablasi jantung pertama di Borneo menggunakan teknologi ablasi medan berdenyut PulseSelect.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Hospital Pakar KPJ Kuching (KPJ Kuching) mencipta sejarah dalam penjagaan kardiologi apabila berjaya melaksanakan prosedur ablasi jantung atau pembuangan tisu bagi merawat detak jantung tidak teratur pertama di Borneo menggunakan teknologi PulseSelect pulsed field ablation (PFA).

 

Kumpulan itu berkata, pendekatan baharu itu menawarkan ketepatan yang lebih tinggi, pemulihan yang lebih pantas serta mengurangkan kesan terhadap tisu sekeliling untuk pesakit yang mengalami gangguan ritma jantung.

 

Pakar Perunding Kardiologi KPJ Kuching, Dr Koh Keng Tat mengetuai prosedur tersebut dengan sokongan pasukan elektrofisiologi khas hospital itu.

 

Prosedur itu dijalankan ke atas seorang pesakit yang menghidap fibrilasi atrium (AFib), iaitu satu gangguan irama jantung yang biasa dan boleh menyebabkan jantung berdebar, keletihan serta meningkatkan risiko strok jika tidak dirawat.

 

Pasukan perubatan KPJ Kuching menggunakan teknologi PFA generasi baharu, yang merawat isyarat jantung tidak normal dengan menghantar denyutan tenaga terkawal ke kawasan tertentu pada tisu jantung.

 

kpj
Pakar Perunding Kardiologi KPJ Kuching, Dr Koh Keng Tat

 

"Teknologi ini membolehkan kami menyasarkan tisu jantung yang tidak normal dengan ketepatan yang lebih tinggi sambil meminimumkan kesan terhadap struktur sekeliling. 

 

"Bagi pesakit yang sesuai, ia menawarkan tempoh prosedur yang lebih singkat, komplikasi yang lebih rendah dan pemulihan yang lebih cepat untuk kembali kepada rutin harian" katanya dalam satu kenyataan.

 

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata, pihaknya berbesar hati menjadi yang pertama di Borneo memperkenalkan kemajuan dalam rawatan jantung itu sekali gus komitmen mereka terhadap inovasi berfokuskan pesakit serta akses yang lebih meluas kepada penyelesaian jantung yang maju. 

 

"Dengan memperkenalkan prosedur seperti PFA, kami memperluaskan akses kepada rawatan yang lebih selamat dan tepat. Ia juga mengukuhkan tujuan kami ‘Care for Life’, memastikan hospital seperti KPJ Kuching terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada komuniti mereka sambil memperkukuh keupayaan klinikal Kumpulan," katanya.


 

kpj
Pengurus Operasi Hospital Pakar KPJ Kuching, Norhelmi Mohd Zain (dua dari kiri) bersama Dr Koh Keng Tat (dua dari kanan) serta pasukan pembedahannya bagi meraikan kejayaan dalam melaksanakan prosedur ablasi jantung pertama di Borneo menggunakan teknologi denyutan generasi baharu.
 

 

Akses kepada prosedur elektrofisiologi yang canggih masih terhad di banyak kawasan di Malaysia Timur, sekali gus melambatkan rawatan kepada pesakit. 

 

Kejayaan KPJ Kuching dalam melaksanakan prosedur itu membantu merapatkan jurang tersebut dengan memperluas akses kepada perkhidmatan kardiologi lanjutan di rantau ini.

 

Kemajuan ini mencerminkan komitmen KPJ Healthcare dalam memperkukuh perkhidmatan subkepakaran melalui integrasi penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan. 

 

Sebagai sebahagian daripada perjalanan transformasi KPJ Health System, KPJ Healthcare terus memainkan peranan aktif dalam memperluas rawatan inovatif yang berfokus kepada pesakit di seluruh rangkaiannya.- DagangNews.com