KUALA LUMPUR 15 April – Hock Soon Capital Bhd, syarikat penternakan ayam bersepadu merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia bagi mengumpul dana membina ladang ternakan baharu di Teluk Intan, Perak.
Berdasarkan draf prospektus yang difailkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, syarikat yang mengusahakan ladang telur ayam di Bidor, Perak itu merancang menawarkan 30% daripada modal saham diperbesarkan sebanyak 500 juta unit melalui tawaran awam permulaan (IPO).
Tawaran itu merangkumi 100 juta saham baharu yang mewakili 20%, dan 50 juta saham sedia ada bersamaan 10% daripada modal saham tersebut.
Daripada 100 juta saham baharu tersebut, 25 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, 12.5 juta kepada individu yang layak melalui borang merah jambu, dan 62.5 juta akan ditawarkan secara penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Saham sedia ada pula akan ditawarkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.
Dana yang diperoleh akan digunakan untuk membina 25 reban ayam tertutup baharu di Teluk Intan serta memperluaskan kilang makanan ternakan dan kemudahan penggredan telur.
Pengembangan itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran semasa yang kini mencecah 1.48 juta biji telur sehari.
Pendapatan Hock Soon Capital yang sebahagian besarnya disumbang oleh jualan telur ayam, meningkat 3.5% daripada RM146.25 juta pada tahun kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23) kepada RM151.4 juta pada FY24.
Lebih 95% hasil FY24 disumbang oleh produk telur termasuk telur premium berjenama 'QPlus', serta telur tanpa jenama dan berjenama pelanggan. Sebahagian besar jualan tertumpu di kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia.
Bagi FY24, syarikat mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM40.74 juta, meningkat 19% daripada RM34.24 juta pada tahun sebelumnya dengan margin PAT sebanyak 26.9%.
Hock Soon Capital dimiliki keluarga Pengarah Urusan Ong Boon Leng, yang memegang 63.9% saham diikuti isterinya Lim Suk Gen sebanyak 16.1%, dan dua anak mereka Ong Keat Hoe dan Ong Keat Qian masing-masing sebanyak 10%.
Kesemua 50 juta saham sedia ada yang ditawarkan dalam IPO ini datang daripada pegangan keluarga Ong. Selepas penyenaraian, keluarga itu akan mengekalkan 70% pegangan melalui kenderaan pelaburan mereka, Ong Legacy, tertakluk kepada moratorium selama enam bulan.
Syarikat ketika itu tidak mempunyai dasar dividen rasmi, namun telah membayar dividen berjumlah RM63.75 juta bagi FY24 dan RM43 juta sebelum penyenaraian. Hock Soon Capital menyatakan hasrat untuk terus memberi pulangan kepada pemegang saham pada masa hadapan, tertakluk kepada prestasi kewangan, keperluan perbelanjaan modal, dan kedudukan kewangan keseluruhan.
M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin, dan ejen penempatan bagi IPO itu.- DagangNews.com








